Projek RTB Sungai Dong berpotensi jadi tarikan pelancongan

Ibarat serampang dua mata, ia bukan sekadar projek bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Bayam, Durian Sebatang, Kuala Gali dan Temau, bahkan turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan baru di Raub.

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Dong, Raub, Pahang yang menelan belanja sebanyak RM2.49 juta melalui peruntukan kerajaan negeri bakal memberi faedah kepada kira-kira 2000 penduduk dari empat kampung di tebing sungai itu.

Ibarat serampang dua mata, ia bukan sekadar projek bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Bayam, Durian Sebatang, Kuala Gali dan Temau, bahkan turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan baru di Raub.

Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, berkata, projek ini bukan sahaja mengatasi masalah banjir malah berpotensi menjadi sumber ekonomi baru kepada penduduk setempat.

Shahiruddin ketika sidang media di tapak projek RTB Sungai Dong.

Jelasnya, kawasan tebatan banjir boleh dinaik taraf intrastrukturnya dengan menyediakan kawasan rekreasi seperti aktiviti perkelahan, mandi-manda, berkayak dan memancing.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat dan lawatan tapak projek berkenaan yang turut disertai Pengarah JPS Pahang, Ir Mohd Noor Bidin.

Shahiruddin (tengah) ketika meninjau kerja-kerja pembinaan tebatan banjir di sungai Dong.

Sementara itu, Mohd Noor Bidin, projek tebatan banjir dengan jarak 3.4 kilometer itu memakan masa 18 bulan untuk disiapkan yang dijangka siap pada April 2021.

Jelasnya, melalui pelaksanaan projek itu, sungai yang sebelum ini kecil dilebarkan dan diluruskan bagi melancarkan aliran air sungai selain membina tebing tanah yang tinggi.

Tambahnya, sungai yang kecil dan tidak lurus itu sebelum ini menyebabkan air mudah melimpah dan memberi kesan kepada empat kampung berkenaan.