Pahang kurang kadar cukai tanah industri sebanyak 80 peratus

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi remisyen kadar cukai tanah bagi tahun ini bagi kesemua kategori tanah perindustrian setelah menerima rayuan daripada pemain industri.

Kerajaan negeri Pahang mengumumkan pengurangan kadar cukai tanah sebanyak 80 peratus melibatkan kawasan perindustrian di seluruh negeri ini berkuatkuasa serta merta.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi remisyen kadar cukai tanah bagi tahun ini bagi kesemua kategori tanah perindustrian setelah menerima rayuan daripada pemain industri.

“Kerajaan Negeri telah mengadakan taklimat dan penerangan kepada pembayar-pembayar cukai pada Jumaat lepas di seluruh daerah,dan ekoran daripada itulah kita menilai bahawa yang banyak membuat rayuan adalah daripada pemilik tanah berstatus industri dan tanah pertanian melebihi 40 hektar, dan sebab itu kita buat kajian semula.

“Kadar cukai baharu bagi tanah perindustrian di semua daerah di negeri ini menjadi RM0.50 satu meter persegi berbanding RM2.50 sebelum ini.

“Bagi tanah perindustrian di Daerah Kecil Gebeng pula dikurangkan kepada RM1 bagi satu meter persegi daripada RM5 sebelum ini, manakala bagi Daerah Kecil Genting Highlands pula kadar baharu adalah RM0.80 daripada RM4 satu meter persegi sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Kadar Cukai Tanah Baharu 2020 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Persekutuan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Pahang, Tan Sri Lim Sing @ Lam Kam Seng; dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Pahang (Rehda), Encik Wong Kok Loon.

Selain itu beliau turut mengumumkan kadar cukai tanah bagi kawasan tanah pertanian yang keluasannya melebihi 40 hektar diberi remisyen sebanyak RM50.

“Bagi tanah pertanian lebih 40 hektar, kadar cukai selepas remisyen adalah RM250 per hektar berbanding RM300 per hektar mengikut kadar cukai tanah pada 1 Januari,” katanya.

Beliau juga turut mencadangkan 6,360 pemilik tanah supaya menukar syarat kegunaan hak milik tanah kepada kegunaan sebenar bagi penetapan kadar cukai baharu yang lebih rendah.

“Bagi syarat tanah yang berstatus Nil Condition (Tiada Syarat) merupakan kadar kenaikan paling tinggi kerana nilaian tanah berstatus sedemikian adalah tinggi.

“Bagi tanah berstatus NIL Condition, pemilik perlu membuat rayuan bagi mendapatkan pengurangan kadar cukai tanah mereka, dan jika penukaran status ini masih dalam proses, mereka tidak perlu membayar cukai tanah yang dikenakan sepanjang tempoh tersebut.

“Selain itu, sekiranya proses penukaran tersebut melebihi tempoh akhir pembayaran cukai tanah iaitu pada 31 Mei, bayaran cukai tanah mereka akan ditangguhkan sehingga selesai proses tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jumlah hak milik tanah kategori perindustrian di negeri ini adalah sebanyak 8,288 pemilik manakala bagi tanah pertanian adalah 282,429 pemilik daripada 702,259 jumlah hak milik secara keseluruhannya.