PRK Kimanis: Bukti Kuasa Rakyat

TIDAK ada siapa boleh menafikan kuasa rakyat!

Itulah yang berlaku di Kimanis apabila rakyat di kawasan itu terus memberikan kepercayaan kepada BN pada PRK P.176 Kimanis pada 18 Januari 2020.

Jika dilihat keputusan PRK Kimanis, ia jauh lebih baik berbanding PRU-14 lalu yang mana pada waktu itu BN hanya menang dengan majoriti 156 undi.

Pada PRK kali ini, BN menang dengan majoriti yang lebih selesa apabila memperoleh 2,029 undi.

Calon BN pada PRK berkenaan, Datuk Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi manakala calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang menerima 10,677 undi.

Mohamad Alamin meraikan kemenangan bersama pimpinan Barisan Nasional selepas berjaya menewaskan calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang.

Jika kita lihat pada PRU-14, calon BN, Datuk Seri Anifah Aman memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Jika dibandingkan keputusan PRU-14 itu dan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari 2020, undi BN dilihat meningkat manakala Warisan menurun.

Apakah maksud daripada keputusan itu?

Tentunya ia isyarat jelas rakyat di Sabah khususnya Kimanis bahawa rakyat semakin muak dan tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan Pusat pimpinan PH dan pimpinan Warisan di peringkat Negeri.

Saya berpandangan, isyarat rakyat ketika ini termasuk di Kimanis sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai.

Apakah isyaratnya? Isyaratnya rakyat semakin terluka dan terkesan dengan kerajaan Pusat pimpinan PH yang dilihat gagal menunaikan janji manifesto dan menjaga hak dan kepentingan rakyat.

Begitu juga di Sabah, apabila Warisan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu, tiada sebarang usaha dilakukan Warisan dan PH untuk pembangunan negeri dan rakyat di Sabah.

Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Warisan di Sabah adalah membenarkan orang asing tinggal di Sabah menerusi pemberian PSS.

Biarpun Warisan mendakwa PSS adalah idea kerajaan BN sebelum ini, tetapi yang melaksanakannya adalah kerajaan Warisan Sabah.

Maka terbuktilah, rakyat Sabah termasuk di Kimanis menolak PSS kerana bagi mereka Sabah hanya untuk orang Sabah bukan untuk warga asing.

Itulah kuasa rakyat yang sebenarnya dan tiada siapa pun yang boleh menafikannya.

Biarpun ramai pihak melihat Warisan memiliki peluang cerah menang di Kimanis kerana parti itu berkuasa di Sabah, namun rakyat Sabah khususnya di Kimanis membuktikan itu bukan kayu pengukur.

Tahniah kepada BN kerana terus dipilih oleh rakyat di Kimanis. Tahniah juga kepada seluruh jentera BN termasuk parti komponen MCA dan MIC.

Tahniah dan terima kasih juga kepada rakan PBS, PBRS, STAR dan PAS yang bersama BN pada PRK P.176 Kimanis kali ini.

Terus perkukuh muafakat ini, berjuang dalam isu-isu membabitkan rakyat insya-Allah muafakat ini akan menjadi pilihan rakyat pada PRU-15 nanti.

Mohd Sharkar Shamsudin
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO