TMM2020: Jangan tunjuk budaya samseng

TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dilancarkan pada tahun lalu dengan sasaran kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan pelancongan RM100 bilion.

Sesungguhnya pelancongan merupakan antara sektor terpenting dalam memastikan ekonomi sesebuah negara terus berkembang pesat.

Pada 2018, kira-kira 25.8 juta pelancong telah melawat Malaysia dan negara ini menduduki tempat ke-15 dalam negara-negara yang mempunyai jumlah kedatangan pelancong tertinggi.

Malaysia juga menduduki tempat ke-21 antara negara-negara yang mencatat hasil pelancongan tertinggi, dengan membawa masuk RM84.1 bilion hasil pendapatan pelancongan pada 2018.

Bulan Januari ini perlu menjadi penanda aras kepada TMM2020 yang mana ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk rakyat secara keseluruhannya bagi menjayakan TMM2020.

Seluruh rakyat perlu sedar bahawa kejayaan kempen TMM2020 akan memberi manfaat kepada semua orang kerana limpahan daripada industri pelancongan akan memanfaatkan ramai pihak.

Adakah budaya negatif yang dipamerkan rakyat di negara ini akan membantu TMM2020 mencapai sasaran 30 juta pelancong antarabangsa?

Saya bangkitkan perkara ini kerana baru-baru ini tular di laman media sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang bertindak menyerang Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Saya bangkitkan perkara ini bukan soal politik tetapi soal keselamatan dan keharmonian dalam negara.

Sesungguhnya dua aspek berkenaan iaitu KESELAMATAN dan KEHARMONIAN merupakan antara aspek yang pasti diberikan penekanan oleh pelancong asing untuk mengunjungi sesebuah negara termasuklah Malaysia.

Tambahan lagi, insiden berkenaan berlaku di sebuah lapangan terbang antarabangsa dan disaksikan juga oleh pelancong asing yang berada di situ.

Adakah perkara itu akan memberikan gambaran baik berhubung keharmonian di negara ini?

Sedikit sebanyak insiden itu pasti memberikan gambaran tidak baik dalam kalangan pelancong asing berhubung aspek keselamatan di negara ini.

Mereka pasti akan bercerita sesama mereka berhubung tahap keselamatan terutama di lapangan terbang antarabangsa di negara ini.

Jadi, budaya samseng seperti di KKIA itu perlu dielakkan sama sekali dan perlu dipastikan ia tidak berulang terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Janganlah kita cuba bertindak memalukan negara ini melalui budaya samseng yang mana ia bukan budaya masyarakat di negara ini.

Apa yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lakukan adalah bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Di Pahang, dalam usaha memastikan sektor pelancongan Pahang terus berdaya maju dan menjadi pilihan utama pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, Tourism Pahang memperkenalkan tagline baharu iaitu PAHANG – SIMPLY AWESOME sempena TMM2020.

Tagline baharu ini diperkenalkan bagi memberikan gambaran kepada pelancong bahawa negeri Pahang memang menakjubkan dan kaya dengan lokasi pelancongan sama ada di kawasan tanah tinggi, daratan, hutan, pantai dan pulau.

Sebagai bukti, pada tahun 2018, negeri Pahang berada di kedudukan pertama dari segi kehadiran pelancong domestik di negara ini.

Diharapkan kempen TMM 2020 akan berjaya mencapai sasarannya untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa.

Bersama-samalah kita membantu menjayakan kempen TMM2020, bukan menggagalkannya.

Tolak budaya samseng!

Mohd Sharkar Shamsudin
Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang