Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kedai

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Anuar Hassan berkata, mayat mangsa ditemui di sebuah bilik sewa di tingkat tiga sebuah bangunan.

Seorang lelaki warga India ditemui rentung manakala 27 orang lagi terselamat dalam kebakaran melibatkan empat unit rumah kedai di Jalan Bukit Ubi, di sini tengah malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Anuar Hassan berkata, mayat mangsa ditemui di sebuah bilik sewa di tingkat tiga sebuah bangunan.

Beliau berkata, bangunan tersebut telah diubahsuai menjadi 27 unit bilik sewa di tingkat dua dan tiga.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 12.53 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan tiba tiga minit kemudian.

“Operasi pemadaman itu turut melibatkan BBP Indera Mahkota, BBP Taman Tas dan BBP Gebeng dengan kekuatan lapan pegawai dan 38 anggota.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 2 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.13 pagi manakala punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim bin Muda mengingatkan pemilik bangunan di negeri ini agar tidak melakukan pengubahsuaian di premis milik mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengesahan pihak bomba.

Abd Rahim (kiri) mendengar penerangan yang diberikan wakil bomba berkaitan kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, tindakan tamak tersebut bertujuan untuk mengaut keuntungan atau jalan mudah dengan menempatkan sekumpulan pekerja namun ia jelas mengancam keselamatan penghuninya sendiri jika berlaku sesuatu bencana.

“Sudah dua kali kejadian seumpama ini berlaku di kawasan bandar Kuantan, jadi saya minta agar pemilik premis serta penghuni memikirkan keutamaan faktor keselamatan dan keselesaan bagi mencegah kejadian seumpama ini berulang kembali.

“Kita tahu mereka mengambil langkah mudah untuk menyewa bilik beramai-ramai kerana lebih murah berbanding sewa rumah, namun risiko yang dihadapi amat besar dan mampu meragut nyawa mereka sendiri,” katanya ketika melakukan lawatan di lokasi kejadian pagi tadi.

Kata beliau lagi, setiap pemilik bangunan seharusnya melakukan pemantauan serta pemeriksaan secara berkala ke atas barangan elektrik serta pendawaian di premis mereka bagi mengelak kejadian kebakaran berlaku.

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali dan Ihsan JBPM Pahang