61 terima tawaran pemilikan rumah PAKR Pandan

Pemberian surat tawaran dan cabut undi kepada pemohon yang layak serta memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim bin Muda di Dewan Blok C, Wisma Sri Pahang.

Seramai 61 orang lagi menerima surat tawaran daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi memiliki rumah PAKR Sungai Pandan.

Pemberian surat tawaran dan cabut undi kepada pemohon yang layak serta memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim bin Muda di Dewan Blok C, Wisma Sri Pahang semalam.

Bilangan penerima ini adalah sebahagian daripada 800 unit yang telah diduduki sejak 10 tahun lalu.

Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan kos yang besar iaitu RM5000 setiap unit bagi membaiki kerosakan fizikal bangunan rumah tersebut akibat terbengkalai sejak disiapkan tahun 2000 yang lalu.

Pemilik cuma membayar sebanyak RM225 sebulan dan dikenakan syarat tidak boleh disewa atau dijual kepada pihak lain selagi bayaran sepenuhnya tidak diselesaikan oleh pemilik.

Pemilik juga diminta sentiasa menjaga kebersihan dan kehormonian kejiranan bagi mewujudkan perumahan sejahtera dan mengelak terjadinya wabak penyakit.

Menurut Abd Rahim, beliau berasa amat bersyukur kerana telah dapat menunaikan niat golongan kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah 3 bilik (PAKR) yang selesa.

“Kebanyakkan mereka, sebelum ini menyewa pada harga RM400 hingga RM600 sebulan dan pendapatan mereka sekeluarga pun masih dibawah RM2000 malah ada yang masih dibawah RM1000, sudah tentu ianya sangat membebankan mereka,” katanya.

Rumah PAKR yang dijual pada harga RM35,000 ini masih mempunyai kekosongan di beberapa tempat, malah Kerajaan Pahang juga membina Rumah Makmur yang lebih selesa untuk rakyat pada harga hanya RM80,000 dimana harga sebenar rumah seperti itu boleh mencecah sehingga RM160,000 sebuah.

Orang ramai yang berkelayakan berpendapatan dibawah RM3000 sebulan untuk (Rumah PAKR) manakala dibawah RM5000 sebulan untuk (Rumah Makmur) bolehlah membuat permohonan secara online melalui pautan ini https://eperumahan.pahang.gov.my/permohonan/main_permohonan.php

Oleh: Mahathir Ali