Pelatih PDK dilanggar ketika melintas jalan

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa Siti Rahimah Albasri , 27, yang belajar di PDK Warisan dekat Gali di sini sedang melintas jalan di Simpang Taman Kurnia Jaya di sini.

Perjalanan pulang ke rumah seorang wanita yang belajar di sebuah Pusat Dalam Komuniti (PDK) di sini menjadi perjalanan terakhirnya selepas mangsa maut akibat dilanggar sebuah kereta.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa Siti Rahimah Albasri , 27, yang belajar di PDK Warisan dekat Gali di sini sedang melintas jalan di Simpang Taman Kurnia Jaya di sini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal semasa kejadian mangsa berjalan kaki pulang ke rumahnya di seberang jalan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pejalan kaki yang tiba-tiba melintas dari kanan jalan (dari simpang Taman Kurnia Jaya) dipercayai hendak balik ke rumahnya di seberang jalan.

“Ketika itu cuaca hujan dan aliran trafik agak sibuk, disebabkan jarak terlalu dekat kereta terlibat yang datang dari arah Kuala Lumpur tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta jenis Perodua Myvii tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.