3 maut kemalangan Ysuku, tragedi menyayat hati

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang menyifatkan tragedi kematian membabitkan tiga nyawa serentak dalam kemalangan kumpulan motosikal jenis Yamaha 15ZR atau ‘Ysuku’ malam sebagai tragedi menyayat hati.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ini kerana kejadian ini merekodkan angka tinggi dalam kemalangan jalan raya di daerah Kuantan.

“Kami merasa bersedih kerana dalam tempoh Ops Selamat 2020, ini adalah kemalangan maut yang melibatkan satu jumlah yang tinggi iaitu tiga orang.

“Justeru kami ingin menasihati kumpulan-kumpulan penunggang motosikal mahupun pemandu konvoi agar memaklumkan kepada polis trafik mengenai pergerakan konvoi; mematuhi undang-undang jalan raya, sentiasa mengingati orang tersayang dan amalkan prinsip biar lambat asal selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan jenazah kesemua mangsa telah dituntut waris sekitar jam 7 pagi tadi di bilik forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Jenazah arwah Amirul Faris akan dikebumikan di tanah Perkuburan Sentosa manakala dua yang lain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Chedong, Maran.

Pagi ini sumber memaklumkan kesemua jenazah akan disembahyangkan di Masjid Tanah Putih Kuantan sebelum dibawa ke Masjid Besar Maran dan tanah perkuburan.

Kesemua jenazah Allahyarham dijadualkan akan disembahyangkan di Masjid Tanah Putih Kuantan terlebih dahulu sebelum ke Masjid Besar Maran dan ke tanah perkuburan. sumber foto: penduduk

Malam tadi, media melaporkan tiga penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalanraya membabitkan lima motosikal yang sedang berkonvoi pulang dari arah Kuantan ke Maran, di Kilometer 201 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian antara jam 9.00 dan 9.30 malam  itu, mangsa yang maut ialah kontraktor, Azlee Mat Daud, 39; pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25 dan pekerja am, Syamil Nazir, 32.

Mangsa yang cedera ialah, kontraktor, Mohd Issham Sulaiman, 39, dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi awam untuk tampil membantu siasatan.

Turut kelihatan di HTAA ialah ADUN Kuala Sentul yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin yang menziarahi waris mangsa.

tamat