Fuziah simpati mangsa tragedi pulang konvoi



KUANTAN – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Fuziah Salleh turut bersimpati di atas tragedi menyayat hati membabitkan kemalangan maut tiga sahabat yang pulang berkonvoi dari Kuantan ke Maran di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) malam tadi.

Pihaknya turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh waris dan rakan-rakan mangsa.

“Malang tidak berbau dan insiden yang berlaku amat dikesali. Ucapan takziah dari saya buat keluarga ketiga-tiga mangsa dan kepada mangsa yang masih kritikal di zon merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) saya doakan semoga segera sembuh.

“Takziah juga kepada seorang lagi mangsa yang cedera atas tragedi ini. Beliau tentu lebih merasa kehilangan rakan-rakan dalam kemalangan itu kerana baharu sahaja luangkan masa bersama-sama. Saya amat bersimpati dengan kejadian yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Timur Daily, hari ini.

Sementara itu, beliau menitip pesanan buat pengguna jalan raya yang lain yang sedang menghabiskan  cuti agar berhati-hati di jalan raya.

“Ingatlah keluarga yang tersayang yang sentiasa menunggu kepulangan keluarga masing-masing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalanraya membabitkan lima motosikal yang sedang berkonvoi pulang dari arah Kuantan ke Maran, di Kilometer 201 LPT.

Dalam kejadian antara jam 9.00 dan 9.30 malam  itu, mangsa yang maut ialah kontraktor, Azlee Mat Daud, 39; pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25 dan pekerja am, Syamil Nazir, 32.

Mangsa yang cedera ialah, kontraktor, Mohd Issham Sulaiman, 39, dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

tamat