Tiga maut motosikal bergesel sesama sendiri dalam konvoi pulang ke Maran

KUANTAN [KEMASKINI] – Tiga maut dalam satu kemalangan jalanraya membabitkan lima kenderaan motosikal di Kilometer 201 arah barat ke Maran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), malam tadi.

Dalam kejadian antara jam 9.00 dan 9.30 malam  itu, mangsa yang maut ialah kontraktor, Azlee Mat Daud, 39; pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25 dan pekerja am, Syamil Nazir, 32.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam konvoi pulang dari bercuti dan bersiar-siar di Kuantan ke arah Maran melalui LPT.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila lima buah motosikal yang ditunggang kesemua mangsa telah bergesel sesama sendiri lalu terjatuh di lorong laju. Pergeselan itu menyebabkan tiga daripadanya cedera parah dan maut dan manakala seorang cedera ringan dan seorang cedera parah.

“Jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera parah kini dirawat di zon merah.

“Ketika kejadian cuaca dilaporkan baik manakala keadaan lalulintas di lokasi kejadian adalah lancar. Kesemua mangsa dipercayai berkonvoi ke daerah Kuantan dan dalam perjalanan pulang berdasarkan siasatan menerusi Facebook dan soalsiasat mangsa-mangsa yang terlibat. Mangsa dan rakan-rakannada membuat hantaran di FB sebelum kejadian. ” katanya ketika ditemui di HTAA di sini, sebentar tadi.

Dua mangsa yang cedera ialah, kontraktor, Mohd Issham Sulaiman, 39, dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut kelihatan di bilik forensik HTAA ialah Adun Kuala Sentul Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang hadir menziarahi keluarga mangsa seawal jam 1.30 pagi.

Shahaniza berkata, ketiga-tiga mangsa merupakan anak muda yang dikenali beliau secara dekat termasuk waris mangsa.

“Allahyarham Azlee tu Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Kemap. Beliau sangat aktif menjalankan program-program pemuda membabitkan masyarakat di Dun Kuala Sentul dan Bahagian Luit.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar buat UMNO Bahagian Maran kerana beliau sangat baik dengan saya dan saya sangat terkejut dengan berita ini. Bahkan keluarga kesemua mangsa juga saya kenal secara dekat.

“Isteri Azlee sedang hamil nak masuk lima bulan manakala arwah Muhammad Amirul pula bakal berkahwin Februari nanti dan saya difahamkan persediaan sudah dibuat kedua dua belah keluarga,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran dan Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang.

tamat.

TIMUR DAILY MENGUCAPKAN TAKZIAH KEPADA SEMUA WARIS DAN RAKAN RAKAN MANGSA. AL FATIHAH