Ayam istimewa berkaki empat di Jengka

Dua ekor ayam berkaki empat itu mula menjadi perhatian orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat kewujudan haiwan itu.

Pengusaha ayam daging Felda Seri Jengka 17 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini terkejut apabila menemui dua ekor ayam peliharaannya mempunyai empat kaki.

Dua ekor ayam berkaki empat itu mula menjadi perhatian orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat kewujudan haiwan itu.

Pengusaha terbabit Ruszilawati Othman berkata, ayam terbabit dikesan berkaki empat ketika seorang pekerja mahu menyembelih untuk mengadakan jamuan.

“Saya mengusahakan ladang ayam lebih sebelas tahun tetapi tidak pernah menemui ayam berkaki empat yang sihat membesar seperti ayam yang lain.

“Ayam ini kini berusia 40 hari kelihatan normal tetapi apabila diteliti ianyai spesies istimewa yang jarang ditemui,” katanya ketika ditemui PahangStory di Felda Seri Pagi Jengka 17 hari ini.

Menurutnya, dia tidak sampai hati untuk menyembelih ayam itu malah menempatkannya di reban khas untuk tatapan orang ramai yang ingin melihat ayam ganjil itu.

Ruszilawati memberitahu ayam berkenaan disifatkan amat istimewa dan akan dijaganya dengan baik.

Bagaimanapun katanya dia bersedia mempertimbangkan untuk menjual sekiranya ditawarkan dengan harga yang sesuai oleh sesiapa yang berminat.

Dalam pada itu dia berkata, penemuan dua ekor ayam berkaki empat ini begitu cepat tersebar sehingga ramai orang datang untuk melihat sendiri ayam istimewa ini.

Katanya, ekoran itu juga ayam berkenan hilang dicuri selama sehari dipercayai untuk tujuan khurafat mendapatkan nombor ekor.

“Setelah saya uar-uarkan sesiapa dapat mengembalikan ayam itu dengan hadiah RM100.00, saya bersyukur ayam itu dikembalikan esok paginya,” ujarnya.

Oleh: Salehudin Mat Rasad