Keluarga tampil nafi anak meninggal dunia akibat virus korona

Bapa saudara mangsa, Muhamad Hafiz Abdul Karim berkata, Allahyarhamah Nur Izzah Izzati Norazlan, 20, sebaliknya disahkan meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung.

Ahli keluarga gadis yang rebah dan meninggal dunia di sebuah kedai di Shah Alam 26 Januari lalu, hari ini tampil menafikan kematian mangsa akibat virus korona seperti diviralkan.

Bapa saudara mangsa, Muhamad Hafiz Abdul  Karim berkata, Allahyarhamah Nur Izzah Izzati Norazlan, 20, sebaliknya disahkan meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung.

Menurutnya laporan bedah siasat itu dikeluarkan oleh doktor dari Hospital Kelang, tempat areah dikejarkan sejurus rebah.

“Saya amat bersedih dengan video dan status Facebook yang ditularkan netizen. Ada yang kata anak buah saya meninggal kerana virus itu menyebabkan ramai hubungi keluarga untuk bertanya.

“Saya tengok video yang tular tu pun saya bertambah sedih. Mohon doakan yang baik-baik sahaja untuk arwah yang ditakditkan pemergiannya amat mudah dan tenang.

“Arwah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.09 petang, pada 26 Januari di sebuah kedai aksesori telefon bimbit, iaitu tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Muhamad Hafiz, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al Basriah Kuala Tembeling itu merupakan anak saudaranya yang kedua daripada 10 kesemuanya dan pernah menetap dengan beliau sehingga tamat persekolahan.

Kelmarin, tular di Facebook video gadis rebah di sebuah kedai gajet dan dikatakan akibat virus korona.

Video berdurasi 50 saat itu mendapat lebih 50 perkongsian hari ini dengan ratusan komen.

Sehubungan itu, Muhamad Hafiz meminta orang ramai segera menghentikan berita palsi tersebut kerana bimbang salah faham masyarakat terhadap keluarganya.