Kemalangan libatkan empat kenderaan, polis buru pemandu pacuan empat roda

Kejadian kira-kira pukul 12.50 tengahari itu menyebabkan N. Subramaniam, 67, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital manakala seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Sebuah kereta pacuan empat roda dipercayai memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan seorang pemandu teksi maut selepas terlibat dalam kejadian kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 14 Jalan Triang-Temerloh di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.50 tengahari itu menyebabkan N. Subramaniam, 67, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital manakala seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, berdasarkan siasatan awal semasa kejadian pemandu pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Triang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu pacuan empat roda gagal mengawal kenderaan yang dipandu lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar teksi dan sebuah kereta yang berada di belakang teksi.

“Selepas itu penunggang motosikal yang berada di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Temerloh juga turut mengelak tetapi terlanggar bahagian belakang teksi,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya pemandu teksi mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dan dan pemandu motosikal mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.

Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan dan pemandu teksi meninggal dunia pada pukul 4.10 petang ketika dirawat di wad kecemasan.

Tambahnya siasatan masih diteruskan dan polis masih mengesan pemandu pacuan empat roda berkenaan.