Tengku Mahkota Pahang YDP baharu MUIP

Istiadat pelantikan itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pekabat MUIP di sini, hari ini.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang baharu.

Istiadat pelantikan itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pekabat MUIP di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut Al-Sultan Abdullah turut berkenan melantik Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim sebagai Timbalan Yang Dipertua Muip baru menggantikan Datuk Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Kedua-dua anakanda baginda mengangkat sumpah pada majlis yang diadakan sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kali ke-179 hari ini.

Pada majlis berkenaan, empat Ahli Mesyuarat Majlis yang baru dilantik iaitu Profesor Datuk Sri Dr Zaleha Kamarudin, Profesor Dr Fariza Md Sham, Profesor Madya Dr Hasan Ahmad dan Dr Mohd Farid Ravi Abdullah turut mengangkat sumpah.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, barisan Exco Kerajaan Negeri, Kerabat Diraja dan pegawai Kerajaan Negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah ketika ditemui bertitah agar barisan pentadbiran baru MUIP yang diterajui anakanda baginda terus cemerlang dan memberi manfaat kepada golongan memerlukan di negeri ini.

“Saya berharap kepimpinan baru di bawah kedua-dua anakanda saya dapat meneruskan segala landasan yang saya letak bersama barisan ahli majlis.

“Mudah-mudahan dapat membawa MUIP ke satu tahap yang lebih baik dan lebih tinggi. Kita dapat meningkatkan syiar Islam dan membela masyarakat Islam secara keseluruhan, InsyaAllah,” titah baginda.

Sementara itu, Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook beliau turut mengucapkan sembah tahniah ke atas pelantikan kedua-dua anakanda Yang Dipertuan Agong.

“Tahniah patik sembahkan ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah atas pelantikan sebagai Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Patik juga menyembahkan ucapan tahniah ke sisi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Lt Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah atas pelantikan sebagai Timbalan Yang Dipertua MUIP,” katanya.

Kedua-dua anakanda Tuanku mengangkat sumpah jawatan disaksikan Al-Sultan Abdullah sendiri pada mesyuarat MUIP di Kompleks MUIP Pekan, pagi tadi.

Foto: Mahathir Ali (UKOMP)