Hujan lebat tidak halang Pemangku Raja Pahang turun bantu mangsa kemalangan

Kemalangan jam 2 petang itu membabitkan dua mangsa berbangsa Cina di Kilometer 103.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, Temerloh.

Biarpun hujan lebat ia bukan penghalang buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli turun daripada kenderaan baginda semata-mata untuk membantu mangsa kemalangan, hari ini.

Kemalangan jam 2 petang itu membabitkan dua mangsa berbangsa Cina di Kilometer 103.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, Temerloh.

Pemangku Raja Pahang yang ketika itu dalam perjalanan ke Ibu Negara menuruni kenderaan baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat.

Sambil memegang payung, baginda sempat bertanya khabar kepada kedua-dua mangsa sebelum melihat sendiri kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.

Dalam kejadian tersebut, kelihatan sebuah kenderaan berwarna hitam terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas namun mangsa kemalangan yang dipercayai dari Sungai Lembing itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.

KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga ada menasihati kepada semua untuk memandu dengan berhati-hati terutamanya ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan.

Selepas berpuas hati dengan keadaan mangsa, Pemangku Raja Pahang meneruskan perjalanan ke Ibu Negara.

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Ihsan Shafieq Johari