Coronavirus: Kerani bank wanita ditahan disyaki sebar berita palsu

Menurut kenyataan MCMC, suspek wanita berumur 28 tahun itu ditahan di Kuantan kira-kira pukul 4:00 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada 27 Januari 2020.

Seorang kerani sebuah bank ditahan di Kuantan dalam serbuan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terhadap individu yang menyebarkan berita palsu wabak Novel Coronavirus (2019-nCov).

Menurut kenyataan MCMC, suspek wanita berumur 28 tahun itu ditahan di Kuantan kira-kira pukul 4:00 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada 27 Januari 2020.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman Facebook.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,”kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan media, sejak 28 Januari 2020, MCMC dan PDRM telah menahan seramai enam suspek yang dipercayai telah menyebarkan kandungan palsu mengenai Novel Coronavirus (2019-nCov).

Katanya, tindakan itu akan berterusan untuk memastikan penularan berita palsu dapat dikawal dan seterusnya menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.