Dua lelaki pukul pemandu bas didakwa

Tertuduh terbabit, Lim Kia Pin, 39, dan Lai Kok Kong, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Dua lelaki didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, hari ini, termasuk mendatangkan kecederaan kepada pemandu bas dan menyerang anggota polis.

Tertuduh terbabit, Lim Kia Pin, 39, dan Lai Kok Kong, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Harian Metro melaporkan, bagi pertuduhan pertama, Kia Pin dan Kok Kong dituduh secara bersama-sama berkelakuan tidak senonoh dengan bertindak agresif dan membuat bising ketika berada di Balai Polis Gelang Patah pada jam 4.35 petang, 24 Januari lalu.

Mereka juga dituduh secara bersama-sama menyerang seorang penjawat awam yang juga anggota polis ketika menahan mereka di lokap balai polis yang sama pada jam 5.51 petang, 24 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa secara bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan barang dalam sebuah bas persiaran iaitu kamera perakam perjalanan dan cermin bas yang dipandu Nor Hafiz Nor Azmin, 32, di Kilometer 29, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah kira-kira 1.45 tengah hari, 24 Januari lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Kok Kong turut dituduh mendatangkan kecederaan kepada Nur Hafiz dengan menggunakan senjata iaitu mesin gerudi tangan, botol air minuman dan tin penyembur serangga di dalam bas berkenaan kira-kira jam 1.45 tengah hari, 24 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Kia Pin dituduh mendatangkan kecederaan kepada Nur Hafiz dengan menggunakan anggota badannya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhayati Muhammad Fathullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Rashidah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM9,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Sebutan kedua kes akan dibuat pada 13 Februari depan bagi serahan dokumen.

Video kedua-dua tertuduh menyerang seorang pemandu bas pelancong di Gelang Patah, dekat sini, viral menerusi media sosial sejak Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, seorang daripada suspek dilaporkan dirakam memukul, menumbuk dan menendang pemandu bas pelancong berkenaan berulang kali walaupun mangsa merayu supaya mereka tidak meneruskan perbuatan berkenaan.

Serangan berkenaan dipercayai dirakam seorang penumpang selepas bas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Gelang Patah-Pendas.

Susulan kejadian itu, polis menahan reman dua suspek berkenaan sejak petang Jumaat lalu.