Saifuddin: ‘Saya tak tahu berapa ramai ahli nak keluar tapi 10,000 masuk setiap minggu’

Jumlah itu katanya dicatatkan dari pendaftaran ahli baru melalui 222 cabang PKR seluruh negara dan keahlian PKR kini hanya memerlukan 30,000 lagi sebelum mencecah angka 1 juta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan bahawa 10,000 ahli PKR akan keluar parti itu sekiranya naib presidennya, Zuraida Kamaruddin dipecat.

Kata Saifuddin, apa yang beliau tahu, parti itu mendaftarkan 10,000 kemasukan ahli baru setiap minggu.

“Saya tak tahu berapa ramai nak keluar. Tapi sebagai setiausaha agung, tugas setiap minggu melaporkan dalam mesyuarat biro politik tentang kemasukan anggota baru dalam parti.

“Itu (kemasukan 10,000 seminggu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra Kajang hari ini.

Malaysiakini melaporkan, jumlah itu katanya dicatatkan dari pendaftaran ahli baru melalui 222 cabang PKR seluruh negara dan keahlian PKR kini hanya memerlukan 30,000 lagi sebelum mencecah angka 1 juta.

Semalam kira-kira 150 anggota PKR, yang mewakili 13 kawasan parlimen dan 15 NGO, mengadakan perhimpunan aman di luar pejabat parti itu di Bayan Baru, Pulau Pinang sebagai tanda solidariti buat Zuraida.

Pegawai khas Zuraida, Harris Idham berkata akar umbi tidak akan teragak-agak untuk mengikuti pemimpin mereka jika dipecat daripada parti itu.

Ditanya jumlah ahli yang mungkin akan meninggalkan parti itu, Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Nasional Pulau Pinang Shahrudin Mohd Shariff berkata “kira-kira 10,000 orang”.

Bagaimanapun menurut Saifuddin, kenyataan penyokong Zuraida berkenaan dibuat ketika marah.

“Benda belum berlaku (10,000 keluar parti), cuma kenyataan. Ketika demonstrasi ni, dia suhu marah tu tinggi, jadi, (bila) pemberita tanya dia pun petiklah 10,000 (ahli akan keluar parti),” katanya.

Zuraida dikenali sebagai penyokong tegar kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. 

Beliau kini dalam penilaian lembaga disiplin PKR selepas menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga itu pada 15 Januari lalu.

Walaupun tidak mendedahkan kandungannya, Zuraida membayangkan ia berkaitan ucapannya pada majlis yang menghimpunkan penyokong Azmin di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, pada hari sama Kongres Nasional PKR berakhir.

Ucapan tersebut mengandungi beberapa kritikan terhadap Anwar Ibrahim, termasuk dakwaan presiden PKR itu pernah cuba meyakinkannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan Azmin adalah betul.

Tuduhan Zuraida kasar, biadab

Dalam perkembangan lain, apabila disoal pemberita, Saifuddin memberi bayangan pihaknya tidak merancang menarik balik surat tuntutan saman yang dikeluarkan kepada Zuraida.

Katanya, meskipun dirinya telah berkecimpung dalam arena politik lebih 33 tahun dan sudah masak dengan asam garam dunia itu, namun tuduhan Zuraida itu disifatkannya terlalu “kasar dan biadab.”

“Sepanjang tempoh itu, saya tak pernah saman orang. Tapi apabila sampai satu tahap di mana tuduhan itu dianggap sebagai sangat kasar dan biadab, kita tak ada pilihan lain …

“Sebab tuduhan ke atas saya itu sangat spesifik bahawa saya menerima berjuta ringgit dari kerajaan PAS Kelantan semasa saya berkhidmat di Kelantan.

“Jadi itu perkara-perkara yang saya rasa perlu diberikan noktah. Berpolitik boleh tapi kena jaga hemah, jaga akhlak dan jaga adab. Tak boleh nak puaskan hati (entertain) penyokong kita saja,” katanya.

Selain itu, Saifuddin turut menegaskan proses saman itu dilakukan atas kapasiti individu terhadap Zuraida, bukan atas kapasiti “menteri kepada menteri”.

Soalnya kepada pemberita juga, sebagai negeri miskin, adakah munasabah untuk Kelantan memberinya jutaan ringgit berbanding menyalurkan dana itu kepada kawasan-kawasan di negeri itu?

“Itulah yang disebut dalam ucapannya. Apa pilihan yang saya ada?

“Jadi saya kata peguam saya tolonglah hantar surat (tuntutan saman).Itu saja. Kalau dia jawab (bahawa) dia tak bermkasud begitu, itu kemudianlah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Saifuddin memberitahu surat tuntutan itu telah diterima pada 20 Januari di pihak Zuraida, berkaitan dua tuduhan yang dilemparkan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu ke atasnya.

Dua tuduhan itu membabitkan dakwaan bahawa beliau ada menerima jutaan ringgit daripada kerajaan Kelantan serta Tabung Tok Kenali.

Menurut Saifuddin, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.