Henti kaitkan koronavirus dengan isu perkauman

Bercakap kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang, semalam, beliau berkata hanya kebetulan bahawa wabak itu berasal dari China.

dig

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menggesa rakyat Malaysia untuk berhenti melihat usahan Putrajaya untuk menangani wabak koronavirus sebagai isu perkauman.

Malaysiakini melaporkan, bercakap kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang, semalam, beliau berkata hanya kebetulan bahawa wabak itu berasal dari China.

“Hari ini apabila kita nak menyelesaikan isu koronavirus pun tiba-tiba ada orang yang cuba memainkan soal kaum. Koronavirus kebetulan datang daripada China, sebelum ini kita ada ebola daripada Afrika, kita ada jangkitan-jangkitan lain daripada benua yang lain, dan kita tidak pernah timbulkan isu perkauman.

“Sebab itu saya berharap bahawa kita sebagai rakyat Malaysia boleh menghentikan isu perkauman ini, tetapi seperti saya jelaskan asalnya ialah daripada masalah politik perkauman yang kita harus hentikan,” katanya.

Saifuddin turut menyifatkan fenomena politik perkauman diwarisi oleh Pakatan Harapan daripada kerajaan lama dan ia menurutnya bertujuan untuk menutup masalah yang rumit.

“Ia (politik perkauman) telah meresap ke dalam masyarakat yang sesetengahnya malah tidak menyedari ia berlaku sementara yang lain melihatnya sebagai sesuatu yang lazim dan merupakan cara Malaysia.

“Sesetengah melihat ini sebagai cara yang betul manakala yang lain gembira kerana mereka boleh mengambil kesempatan daripada politik perkauman.

“Kami di PH berhasrat menghentikannya tetapi tidak mudah kerana kami sendiri dilihat sebagai masalah ketika kami cuba menangani perkara itu,” keluh Saifuddin, yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat PH.