Polis sokong hukuman berat ke atas pemandu mabuk

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM berpendirian hukuman sedia ada perlu dipertingkatkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong keputusan Kabinet untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta secara berbahaya.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM berpendirian hukuman sedia ada perlu dipertingkatkan.

“Saya sokong sepenuhnya (hukuman berat). Sekiranya tidak tangani perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab ini, lebih ramai akan menjadi mangsa, “ katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perbarisan tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Pada Rabu, Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta secara berbahaya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Hamid berkata melihat kepada perkembangan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan negara barat lain, isu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah begitu serius ditangani oleh pihak berkuasa asing.

“Kenapa tidak kita (Malaysia) juga ambil pendekatan yang sama,” katanya.

– Bernama