Kerajaan negeri pertaruh keselamatan penduduk benarkan tapak sisa Lynas di Bukit Ketam

Jelas Fuziah, Lynas pada suatu ketika membuat dakwaan bahawa mereka telah mendapat kelulusan Sirim (Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia) untuk (produk) condisoil mereka tetapi itu tidak benar sama sekali.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kecewa dengan pengumuman Lynas Corporation bahawa kerajaan Pahang telah bersetuju meluluskan tapak kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada kilang nadir bumi itu.

Kawasan yang diluluskan digambarkan berada di tapak terpencil di kawasan Bukit Ketam di Pahang.

Bukit Ketam terletak berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu, lebih dari 30 km ke utara Kuantan. Ia terletak kira-kira beberapa kilometer dari Felda Bukit Kuantan.

Setiausaha syarikat Lynas, Andrew Arnold dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan awal yang sewajarnya telah dibuat.

“Saya ingin mengingatkan Lynas bahawa tindakan sewajarnya itu (due diligence) tidak cukup untuk (meluluskan) tapak PDF. Ia perlu bagi kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci,” katanya.

Jelas Fuziah lagi, Lynas pada suatu ketika membuat dakwaan bahawa mereka telah mendapat kelulusan Sirim (Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia) untuk (produk) condisoil mereka tetapi itu tidak benar sama sekali.

“Hari ini Lynas cuba untuk memperdaya orang ramai sekali lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Fuziah menyoal sekiranya kerajaan negeri mahu mempertaruhkan keselamatan penduduk Kuantan dengan membenarkan tapak pelupusan kekal sisa Lynas itu dibina di Bukit Ketam.

“Bukit Ketam terletak di sempadan Terengganu dan bersebelahan dengan Bukit Kuantan di satu sisi. Secara kebetulan, Bukit Kuantan juga adalah kawasan tadahan air bagi Sungai Kuantan dan pam air ke loji rawatan Semambu yang memproses air minuman untuk 600,000 penduduk Kuantan.

“Adakah kerajaan negeri Pahang mahu menjejaskan keselamatan penduduk Kuantan dengan membiarkan sisa Lynas PDF dibina di Bukit Ketam?” Soalnya.

Hari ini, Lynas Malaysia juga mengumumkan telah melantik Gading Senggara Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi menguruskan kesemua projek PDF termasuk rekaan, pembinaan dan operasi.

“Jumlah anggaran yang akan dibayar kepada GSSB untuk menguruskan keseluruhan projek PDF adalah AS$ 98 juta (RM400.72 juta),” kata Arnold.

Pengumuman lokasi PDF hari ini susulan keputusan kabinet kontroversi tahun lepas seperti yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin untuk membenarkan Lynas Malaysia meneroka membina kemudahan pelupusan tetap dan bukan memindahkan operasi kilangnya keluar dari negara ini.

Ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak dapat memaksa Lynas Corp meninggalkan Malaysia hanya kerana sesetengah orang tidak mahu menerima pendapat pakar mengenai aspek keselamatan operasi syarikat itu dan juga selepas menjemputnya untuk melabur di negara ini.

Perdana menteri berkata syarikat itu telah melabur lebih daripada RM1 bilion di Malaysia tetapi pengkritik berkata pemprosesan mineral nadir bumi menghasilkan sisa radioaktif.