Model cilik dari Malaysia ke antarabangsa


Model cilik dari program peragaan fesyen terkenal Little Miss Malaysia 2020 yang terbesar pernah diadakan di Malaysia bakal melebarkan sayap ke persada antarabangsa.

Pengarah Urusan Razman Production, Mohd Razman Ghazali berkata, kejayaan program gilang gemilang yang berjaya meraih penyertaan sehingga 192 peserta itu turut mendapat perhatian penganjur luar antaranya Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos dan Brunei.

“Kami sedang membincangkan konsep peragaan serta syarat penyertaan membabitkan pelbagai negara kerana perspektif antarabangsa adalah lebih besar berbanding di dalam Malaysia.

“Alhamdulillah kejayaan Little Miss Malaysia 2020 yang diadakan secara gilang gemilang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Teluk Sisek Kuantan baru-baru ini membariskan 64 peserta model cilik yang memperagakan busana mempesona, di samping 64 pereka fesyen dan 64 jurusolek seluruh Malaysia.

“Jumlah untuk ketiga tiga ketegori peserta itu menjadikan keseluruhan 192 kesemuanya, sekaligus meletakkan program Little Miss Malaysia 2020 sebagai program peragaan model kanak-kanak terbesar pernah diadakan di Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan melibatkan jumlah keseluruhan tunai RM65,000 iaitu; kategori designer/jurureka; kategori Make Up Artist; Little Miss A dan Little Miss B.

“Alhamdulillah majlis mendapat sokongan padu. Dewan dipenuhi lebih 1,000 tetamu dan saya sangat bersyukur kerana keputusan yang dibuat oleh juri profesional yang diundang pada malam itu tmendapat maklumbalas positif daripada ibu bapa,” katanya yang menjalankan perniagaan itu secara usahasama dengan isteri Elta Surya Putri Herman.

Razman berkata, untuk menjayakan Little Miss Malaysia 2020 beliau telah membelanjakan keseluruhan hampir RM65,000 termasuk hadiah tunai keseluruhan RM14,000 beserta sijil dan piala.

Bagi tempoh rancangan jangka panjang Razman berkata, program ini akan diteruskan di musim  kedua di negeri lain seperti Kuala Lumpur sebelum diangkat ke persada dunia iaitu Little Miss Asia.

“Little Miss Asia akan mengumpulkan juara Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Kemboja di bawah satu bumbung peragaan dan di situ kita akan mengangkat juara-juara Little Miss Cilik dari negeri-negeri lain” katanya.