GT Group sasar Pahang jadi tarikan eko-pelancongan negara

Negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung itu kaya dengan tarikan eko-pelancongan yang boleh memberi pengalaman bernilai kepada setiap pelancong bukan sahaja pelancong luar malah pelancong tempatan.

GT Group Of Companies menzahirkan keyakinan dalam usaha menarik pelancong dari China dan negara-negara lain untuk berkunjung ke Malaysia terutama negeri Pahang.

Negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung itu kaya dengan tarikan eko-pelancongan yang boleh memberi pengalaman bernilai kepada setiap pelancong bukan sahaja pelancong luar malah pelancong tempatan.

Setakat ini 10 lokasi yang menawarkan aktiviti eko-pelancongan telah dikenalpasti di Pahang antaranya di Bentong dan Pulau Tioman di Rompin.

Pengerusi GT Group Of Companies, YAM Tan Sri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar, berkata, selaras dengan inisiatif itu, ia juga bertujuan membantu negara ini yang banyak menggalakkan usaha-usaha penghijauan.

Tengku Azlan (tengah) ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 anjuran GT Group Of Companies di Janda Baik, Bentong, hari ini.

Menurutnya, bukan sahaja menarik pelancong bahkan ia turut mampu meningkatkan aktiviti-aktiviti eko-pelancongan.

“Pihak GT Group telah melancarkan beberapa program bukan sahaja di Malaysia bahkan di China bagi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia khususnya Pahang.

“Saya telah membangkitkan usaha ini dengan MB Pahang dan GT Group begitu serius membantu Pahang dalam sektor eko-pelancongan hingga sanggup mengeluarkan modal sendiri di samping 42 syarikat telah ditubuhkan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 anjuran GT Group Of Companies di Cheringin Hill Convention and Spa Resort di Janda Baik, Bentong, hari ini.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.

Turut hadir Founder GT Group Of Companies, Datuk Gary KB Khoo dan CEO, Mr Guo Zhong.

Beliau turut menzahirkan harapan agar usaha berkenaan mendapat sokongan kerajaan negeri dengan mengambil kesempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, sasaran telah ditetapkan dengan mengatur pelbagai aktiviti yang telah dimulakan di Acacia Reatreat, Bentong.

“Selain itu, pelbagai program untuk masyarakat setempat turut diwujudkan dengan menawarkan peluang pendapatan bagi anak-anak muda luar bandar,” katanya.

Ditanya mengenai wabak koronavirus, Tengku Azlan mengakui ia adalah sesuatu yang boleh berlaku di mana-mana.

“Tanggungjawab kita adalah berdoa meminta supaya dijauhi daripada wabak ini,” katanya.