Koronavirus, tiada keperluan bawa pulang dua pelajar pembiayaan Mara di Beijing

KUANTAN – Tiada keperluan atau permintaan membawa pulang dua rakyat Malaysia yang juga pelajar pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) , di Beijing, China, susulan penularan wabak Novel 2019 Koronavirus ke seluruh dunia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan bertindak di atas nasihat kementerian itu, jika dikehendaki.

“Ya. Pada masa ini kita bimbang dengan penularan wabak itu ke seluruh dunia lebih-lebih lagi di China. Di bawah Mara, ada dua pelajar kita sedang menuntut di China. Mereka ialah Muhammad Amir Joham Mohd Rozi dan Puteri Alia Sakinah Mohd Rozi.

“Kedua-dua mereka menuntut di Beijing Foreign Student University) yang mengambil jurusan Bahasa dan dijangka tamat pengajian Ogos nanti. Bagaimanapun keadaan dilaporkan terkawal di sana dan tiada keperluan untuk bawa pulang. Kita akan pantau dan tunggu arahan KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan menyempurnakan majlis Penyampaian Watikah kepada Pengerusi dan Setiausaha Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) negeri Pahang di Gambang hari ini.

Dalam program itu sejumlah 553 watikah telah disampaikan dengan 278 daripadanya adalah watikah pelantikan pengerusi dan 275 pula, pelantikan setiausaha MPKKP.

Jumlah itu meliputi sebahagian daripada 5,962 jawatan dalam 542 MPKKP yang perlu dilantik di 14 Parlimen negeri ini.

Dalam perkembangan lain Rina berharap sasaran minima 30 peratus keanggotaan wanita atau bersamaan empat orang bagi setiap MPKKP dapat dicapai.

“Sehingga hari ini bagi MPKK di negeri-negeri yang ditadbir Kerajaan Persekutuan, bilangan anggota MPKK wanita yang dilantik adalah 442 orang bagi jawatan pengerusi; 1,560 jawatan setiausaha dan 11,096 Ahli Jawatankuasa dengan jumlah keseluruhan 13,098 anggota wanita MPKK di sembilan negeri.

“Kita harap kesemua pelantikan jawatan dalam MPKKP dapat diselesaikan secepat mungkin atau selewat-lewatnya Mac nanti,” katanya.

MPPKP adalah penambahbaikan struktur organisasi MPKK yang dahulunya dianggotai ahli jawatankuasa lantikan berama kerajaan negeri, namun dinaiktaraf menjadi MPKKP bagi tujuan menjadi penyampai maklumat dan dasar kerajaan pusat, ke akar umbi.

“Ada beza antara MPKKP dan MPKK. MPKKP dilantik oleh kerajaan Persekutuan manakala MPKK dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing termasuk di negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang.

“Namun selepas kira dapati ada maklumat yang tidak sampai ke akar umbi maka kita laksanakan MPKKP supaya sistem penyampaian lebih efektif dan efisyen. Kita akan turun semua negeri untuk mempamerkan betapa kita peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata semua jawatankuaaa MPKK dan MPKKP yang dilantik akan menjalani kursus induksi yang akan memberikan pendedahan mengenai perancangan kewangan, ekonomi dan program program kampung khususnya.

tamat