‘Tetap bayar tapi tak tahu bila’

Beliau memberi gambaran akan menyelesaikan bayaran tersebut namun tidak dapat dipastikan bila bayaran itu boleh dibuat.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini mengesahkan bahawa beliau masih gagal menjelaskan saman yang sepatutnya dibayar kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Perak Insights yang memetik Malaysiakini melaporkan, beliau memberi gambaran akan menyelesaikan bayaran tersebut namun tidak dapat dipastikan bila bayaran itu boleh dibuat.

“Nak buat macam mana dah tak ada duit, tapi hutang tetap kena bayar. Saya akan bayar tapi tak tahu bila lagi,” katanya.

Hari ini, Perak Insights telah melaporkan bahawa beliau masih gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Mantan Menteri Besar Perak itu.

Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Untuk rekod pada 15 November tahun lalu Razman memberitahu Malaysiakini, keputusan berkenaan dibuat oleh “mahkamah dunia” dan beliau akan menunggu bil daripada pihak Mohammad Nizar.

“Ya… biasalah, tak ada apa. Tak ada masalah apa, insya-Allah. Kita tunggu bil depa (mereka).

“Kita buat kerja Allah Taala, Insya-Allah tak ada apalah,” katanya.