Isu Sajat bertudung di Makkah Pejabat Mufti akan keluar kenyataan

Timbalan Menteri di jabatan itu, Fuziah Salleh berkata, beliau sudah menghubungi Pejabat Mufti berhubung isu itu yang mendapat perhatian seluruh masyarakat Islam di negara ini, pada masa kini.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diberitahu pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat, yang berpakaian seperti wanita di Makkah ketika mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di jabatan itu, Fuziah Salleh berkata, beliau sudah menghubungi Pejabat Mufti berhubung isu itu yang mendapat perhatian seluruh masyarakat Islam di negara ini, pada masa kini.

“Dalam isu ini, ia sebenarnya isu lama kerana fatwa daripada Pejabat Mufti bahawa jika seseorang itu khunsa, dia boleh memilih untuk menjadi lelaki atau perempuan. Dia tidak boleh kejap lelaki kejap perempuan.

“Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada menawarkan diri untuk membuat kajian hormon. Kita boleh bantu daripada kajian tersebut sama ada dia lebih cenderung kepada perempuan atau lelaki.

“Dari segi kelahiran yang tidak jelas, JAKIM juga boleh mengesahkan tetapi tidak dapat kerjasama daripada Sajat sendiri. Itu sahaja yang boleh saya komen berkenaan isu ini kerana saya dah berhubung minta pejabat Mufti setakat ini kita belum ada maklumbalas berkenaan perkara itu. Mufti Persekutuan sendiri yang akan mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Fuziah berkata demikian ketika ditemui pada majlis watikah pelantikan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Pahang di Kuantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan agensi pelancongan yang membawa Sajat dan keluarga menunaikan umrah dikecam netizen apabila membiarkan usahawan itu berpakaian wanita ketika berada di Tanah Suci sedangkan status jantinanya diragui.

Bagaimanapun agensi terbabit tampil menafikan tuduhan warganet sebaliknya menjelaskan, pihaknya hanya membantu mempermudahkan proses umrah dan sepanjang pelepasan Sajat bersama rombongan ke Tanah Suci mengikut dia mengikut garis panduan ditetapkan, namun sebaliknya berlaku apabila tiba di sana.