Kerana tulisan di FB, wartawan diheret ke mahkamah

Mengikut pertuduhan tersebut, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, membuat tiga kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan kepada orang ramai, di Facebook pada 26 Januari 2020, jam 10 malam.

Seorang wartawan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan berhubung penularan wabak novel koronavirus (2019-nCov) yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Malaysiakini melaporkan, wartawan itu membuat kenyataannya di Facebook “Ibu Yati”.

Mengikut pertuduhan tersebut, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, membuat tiga kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan kepada orang ramai, di Facebook pada 26 Januari 2020, jam 10 malam.

Hayati mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan kepadanya oleh Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Hayati yang berbaju kurung merupakan seorang wartawan di sebuah akhbar tempatan. Dia kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Sekiranya sabit kesalahan, Wan Noor Hayati berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Mahkamah membebaskannya dengan jaminan RM4,000 untuk setiap pertuduhan, dengan satu penjamin.

Hayati tidak diwakili, manakala Timbalan Pendakwa Raya bertugas ialah Nurelia Ellyna Nor Azmal.

Majistret menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pada 29 Jan lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata polis menyiasat satu kumpulan sembang WhatsApp dan tiga akaun Facebook kerana disyaki menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).

Salah satunya hantaran yang dibuat Wan Noor Hayati.

Melalui tangkap layar yang disertakan itu, akaun terbabit didapati memaparkan ayat:

“Pagi tadi berita kata 1000 org China baru tiba di Penang… agaknya klu (kalau) LGE kena baru darurat ke?”

Foto: