Menteri Agama berjiwa kafir: Ulama Pas mohon maaf

Menurut Ibrahim, beliau dengan penuh rasa kesal mengaku telah terkhilaf dan melakukan kesilapan apabila mengeluarkan kenyataan dalam posting saya bertarikh 25.1.2020 yang berbunyi “Menteri Agama, berjiwa kafir”.

Selepas 10 hari diserang kiri dan kanan termasuk laporan polis dibuat ke atasnya, seorang penceramah bebas yang juga ulama Pas, Ibrahim Mohd Raja memohon maaf kepada Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Dalam satu hantaran yang dibuat di laman facebook beliau hari ini, bekas Yang Dipertua Pas Kawasan Batu itu berkata, “saya memohon maaf kepada Menteri Agama atas keterlanjuran kata-kata saya dan menarik balik sepenuhnya kenyataan tersebut.”

Menurut Ibrahim, beliau dengan penuh rasa kesal mengaku telah terkhilaf dan melakukan kesilapan apabila mengeluarkan kenyataan dalam posting saya bertarikh 25.1.2020 yang berbunyi “Menteri Agama, berjiwa kafir”.

Hantaran Facebook menarik balik dan memohon maaf yang dibuat oleh Ibrahim.

Ekoran penyiaran hantaran tersebut pebagai pihak menyerang Ibrahim dan disifatkan sebagai budaya takfiri atau mengkafirkan pihak lawan yang kini menjadi budaya dalam Pas.

Ekoran itu juga, Amanah Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 27 Januari lalu.

Naib Pengerusi Amanah WP, Ahmad Zamri Asaad Khuzami, menggesa agar Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penceramah bebas itu yang dilihat berpotensi menyebarkan ideologi takfiri.

“Ini kenyataan yang perlu dilihat dari segi undang-undang jenayah. Tak ada maksud tersirat sebab secara jelas dia sertakan gambar (Dr Mujahid) dengan kapsyen jahat.

“Laporan dibuat di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan kesalahan di bawah Seksyen 501 dan 505 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur jahat

“Selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Amanah WP juga akan mempertimbangkan untuk membuat saman sivil dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.