Pengajar tarian terkemuka didakwa rogol pelajar

Polis bagaimanapun, melepaskannya daripada tuduhan pertama dengan alasan ia dilakukan secara sukarela, namun masih menyiasat insiden kedua.

Seorang pengajar tarian terkemuka di Kuala Lumpur didakwa merogol dan menyerang pelajarnya secara seksual dalam dua insiden berasingan pada 2017 dan 2019.

Malaysiakini melaporkan, polis bagaimanapun, melepaskannya daripada tuduhan pertama dengan alasan ia dilakukan secara sukarela, namun masih menyiasat insiden kedua.

Para pengadu memberitahu pihak polis dalam kedua-dua insiden itu, jurulatih berkenaan menganjurkan “parti istimewa” untuk kumpulan pelajar perempuan yang terpilih.

Bapa kepada dua anak itu kemudiannya dikatakan menyediakan minuman keras dan melakukan tarian koreografi di mana dia membuka pakaian satu persatu.

Wanita yang berumur pertengahan dua puluhan dan awal tiga puluhan – berkata mereka pada masa itu terlalu mabuk untuk melakukan seks secara sukarela.

Keesokan harinya, wanita berkenaan berkata pengajar tersebut akan meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku adalah dengan persetujuan dan sesuatu yang “tidak dapat dikendalikan.”

Sebelum kedua-dua kejadian itu berlaku, pengajar tersebut memberitahu wanita-wanita berkenaan apa yang berlaku pada malam itu mesti dirahsiakan, dan akan melakukan ‘setakat mana yang mereka boleh”.

Tetapi menurut laporan, wanita berkenaan mendapati pengajar mereka melakukan ‘penetrasi” tanpa persetujuan, dan mengambil kesempatan walaupun mereka menolak atau cuba menghentikannya.

Dalam kejadian pertama, wanita berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berdiam diri kerana rasa malu dan bersalah. Mereka juga berasakan akan disalahkan dan tidak ada yang akan mempercayai mereka, memandangkan pengajar berkenaan dikenali di tempat itu.

Mereka mendakwa, pengajar itu juga memberi jaminan kepada mereka bahawa ia adalah kejadian kali pertama.

Anna (bukan nama sebenar) berkata dia meninggalkan tempat kejadian selepas menyaksikan serangan berkenaan, kerana dia berasa takut.

Keesokan harinya, menurut mesej teks yang dilihat oleh Malaysiakini, pengajar itu berkata mereka melalui malam yang menyeronokkan tetapi kedua-dua wanita itu tidak dapat mengingat apa yang berlaku.

“Dia beritahu saya untuk tidak memberitahu mereka (apa yang berlaku),” katanya.

“Saya fikir mungkin (wanita itu) malu jadi saya tidak bertanya mereka apa-apa,” katanya.

Dua tahun kemudian, wanita itu berada di parti lain yang dihadiri oleh pengajar tarian berkenaan, di mana lebih ramai pelajar diserang. Kali ini, dia enggan untuk berdiam diri.

‘Gangguan tekanan pasca trauma’

Dalam tiga wawancara berasingan, Malaysiakini menemubual empat wanita yang mendakwa mereka diperkosa atau dicabul oleh pengajar yang sama.

Dalam semua wawancara, wanita berkenaan sama ada mengalirkan air mata atau terpaksa menghentikan wawancara. Ada yang gementar kerana mereka teringat apa yang berlaku.

Sesetengah mereka berhenti menari termasuk mereka yang kerjaya tarian telah mencapai peringkat antarabangsa.

Semua wanita yang bercakap dengan Malaysiakini menjalani terapi dan percaya mereka mengalami beberapa gangguan tekanan pasca-trauma.

“Sekarang, apabila seorang lelaki datang ke arah saya, saya berasa takut.

“Saya cuba memastikan diri saya sibuk dengan mengisi masa lapang saya. Saya berada di kelas tarian (berbeza) dan pengajar kami, seorang lelaki gay, meletakkan tangannya di bahu saya dan dengan serta-merta, saya berasa takut dan muka (pelaku) muncul di hadapan saya.

“Itulah ketika saya memutuskan saya perlu mencari kaunselor,”kata salah seorang daripada mereka.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan pengajar tarian, studio yang diajarnya atau wanita yang dilapor menjadi mangsa serangan, untuk melindungi identiti mangsa.

Ketika dihubungi, polis mengesahkan laporan telah dibuat terhadap pengajar, dan individu itu telah ditangkap serta ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Menurut polis, siasatan sedang dijalankan atas dakwaan yang berlaku pada tahun 2019 tetapi difahamkan tiada pertuduhan akan dikenakan terhadapnya berhubung insiden pertama.

Polis membuat kesimpulan bahawa seks dilakukan secara kerelaan berdasarkan sebahagian daripada transkrip sembang WhatsApp. 

Polis berkata mesej itu menunjukkan wanita berkenaan tetap berkawan dengan pelaku selepas kejadian itu.

Pengajar itu ketika dihubungi, berkata dia akan memberi respons kepada Malaysiakini. Bagaimanapun, dia tidak berbuat demikian seperti yang diperkatakan.