SWCorp lancar kempen hargai makanan, elak membazir di musim perayaan

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, kempen ini merupakan siri pertama bagi musim perayaan yang disambut rakyat Malaysia.

cof

Sempena kedatangan Tahun Baru Cina tahun ini Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini melancarkan Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran (Value Food No Waste).

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, kempen ini merupakan siri pertama bagi musim perayaan yang disambut rakyat Malaysia.

Menurutnya, bagi perayaan Tahun Baru Cina ini Jalan Alor telah dipilih sebagai lokasi pelancaran hasil daripada inisiatif River of Life melalui program pengasingan sisa makanan dan dapur hijau.

“Pelaksanaan kempen ini turut diperluaskan di setiap daerah negeri Pahang. Lokasi tumpuan kempen adalah di kawasan komersial, pasar dan tempat tumpuan ramai dalam penyediaan sambutan perayaan tersebut.

“Kempen ini juga telah direncana untuk dilaksanakan pada musim perayaan yang lain seperti Sambutan Ramadhan, Deepavali dan Thaipusam,” katanya ketika ditemui di pejabat SWCorp Pahang di sini, hari ini.

Kempen ini menyasarkan pengguna dan peniaga agar menghargai makanan sebagai sumber yang berharga di samping menyuntik rasa syukur terhadap nikmat kesejahteraan dengan kehadiran tahun baharu.

Beliau berkata, untuk Negeri Pahang, Kempen ini telah dilaksanakan di Arabian Bay, Bukit Gambang Resort City, Kuantan pada 22 Jan 2020.

Pelancaran majlis telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtarb dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Suliman Abd Rahman.

Antara yang disampaikan dalam kempen ini ialah taklimat Hentikan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan demonstrasi Upcycling 3R dan Penghasilan Apron Menggunakan Kemeja Terpakai.

Kuantan City Mall (KCM) turut memberi laluan pelaksanaan kempen ini pada 23 Jan 2020 lalu.