Kembara Yadim sebar rahmah ke seluruh negara

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menjelajah ke seluruh negara melalui Program Kembara Rahmah bagi mendekati masyarakat dengan pelbagai program dengan tujuan memberi penerangan mengenai Dasar Rahmatan Lil Alamin.

Masyarakat di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum perlu diberi kefahaman mengenai konsep rahmah yang menjadi gagasan kerajaan Malaysia.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menjelajah ke seluruh negara melalui Program Kembara Rahmah bagi mendekati masyarakat dengan pelbagai program dengan tujuan memberi penerangan mengenai Dasar Rahmatan Lil Alamin.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abd Aziz, berkata, penganjuran program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat.

Peserta seminar rahmah anjuran Yadim memberikan perhatian ketika panel menyampaikan ceramah.

Menurutnya, penganjuran program ini juga bertujuan memperkenalkan gagasan yang besar ini yang dibawa kerajaan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Menteri Hal Ehwal Agama.

Beliau berkata, kerangka dasar Rahmatan Lil Alamin ini merangkumi seluruh aspek kehidupan tidak kira latar belakang hinggalah kerangka membina keluarga itu sendiri.

“Takdir ALLAH SAW kita hidup di bumi di negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa, etnik, bahasa, budaya hatta agama. Jadi kita faham melalui ayat Al-Quran tujuan ALLAH cipta adalah litaarafu untuk kita bertaaruf yang mana kita faham taaruf ini memberi makna perlunya ada toleransi, kerjasama, tolong-menolong, maaf memaaf untuk kebaikan bersama.

“Jadi dalam masyarakat majmuk kita orang Islam ni yang majoriti dengan perlembagaan yang sedia ada umat Islam sebagai agama Persekutuan kuasa yang ada pada raja-raja dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kita rasa itu perlu dihayati, difahami secara bersama dalam satu kehidupan yang harmoni bagi rakyat Malaysia. Jadi kita berharap program kita mampu memberi penjelasan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kembara Malaysia Rahmah dan Ziarah Rahmah Daerah Maran di Auditorium Pejabat Agama Islam Daerah Maran, hari ini.

Sepanjang kembara turut dianjurkan Program Cuci-cuci Sukarelawan Al Rahmah Yadim, seminar, ziarah rahmah ke rumah asnaf dan OKU serta kuliyah Maghrib.

Beliau turut menegaskan bahawa Yadim mahu keindahan Islam itu dapat dihayati sebaik mungkin oleh seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam sehingga mereka merasai Islam itu adalah satu rahmat anugerah agung daripada ALLAH SAW dan bukan bebanan.

Katanya, oleh perlu wujud satu suasana harmoni dengan harapan program yang dilaksanakan ini dapat memberi kefahaman asas kepada bukan Islam sehingga mereka merasai nikmat berada di bawah naungan Islam.