RUU Wakaf untuk urus tadbir wakaf, elak salah guna

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu menjelaskan, ia juga dapat memelihara apa jua bentuk wakaf agar pewakaf mendapat hasil atau pahala yang sepatutnya.

Tahun 2020 akan menjadi tahun bagi kerajaan memperkasakan wakaf dengan melaksanakan beberapa tindakan.

Antara perkara pertama yang akan dilakukan adalah membawa Rang Undang-undang Wakaf atas dasar pentingnya ada satu tadbir urus bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh, berkata, ia bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan.

Menurutnya, disebabkan pentingnya ada undang-undang bagi memastikan apa yang diwakafkan itu mencapai matlamat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu menjelaskan, ia juga dapat memelihara apa jua bentuk wakaf agar pewakaf mendapat hasil atau pahala yang sepatutnya.

Katanya, kerajaan juga sedang membangunkan produk-produk wakaf bagi membantu golongan sasaran di Wilayah Persekutuan.

“Di masa yang sama kita juga sedang membangunkan produk-produk wakaf di Wilayah Persekutuan sebab Wilayah Persekutuan di bawah Kerajaan Persekutuan.

Jadi kita bangunkan konsep hospital wakaf, universiti wakaf, kita juga sedang membangunkan tabung wakaf untuk membantu sekolah-sekolah dan sebagainya. Jadi inilah usaha-usaha kita pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kembara Malaysia Rahmah anjuran Yadim di Dewan Terbuka Laman Kalbu, Maran, Pahang, hari ini.

Turut hadir YDP Yadim, Nik Omar Nik Abd Aziz.

Dalam pada itu, Fuziah turut memberitahu bahawa Rang Undang-undang Wakaf telah sampai di peringkat penggubalan dan terakhir sebelum dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 18hb ini sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong seterusnya mendapatkan kelulusan kabinet untuk dibentangkan.

Menurutnya, sidang dewan tahun ini akan bermula awal Mac namun Rang Undang-undang akan mula dibahaskan pada awal April.