60,000 swab alkohol dan 3,000 topeng muka percuma untuk warga Kuantan

Ahli Farmasi, Esther Fong berkata, edaran akan dibuat di Just Farmasi di Jalan Dato' Lim Hoe Lek di sini, sebagai tanggungjawab sosial pihaknya pada ketika negara dilanda bencana.

KUANTAN – Sejumlah 60,000 keping swab alkohol dan 3,000 topeng muka dibekalkan secara percuma kepada orang ramai pada hari Ahad ini, bermula jam 9.30 pagi hingga habis.

Ahli Farmasi, Esther Fong berkata, edaran akan dibuat di Just Farmasi di Jalan Dato’ Lim Hoe Lek di sini, sebagai tanggungjawab sosial pihaknya pada ketika negara dilanda bencana.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu membuat sebarang pembelian di farmasi kerana mereka rasa bertanggungjawab untuk membantu masyarakat dengan mengetepikan keuntungan, demi kesihatan dan keselamatan.

“Pada masa ini kami ahli famasi mendapati banyak lokasi kekurangan stok sehingga ada kedai yang bermain dengan harga. Kami tidak mahu dalam keadaan masyarakat yang bimbang dengan wabak Novel 2019 Coronavirus ada pula yang ambil kesempatan.

“Masyarakat jangan panik sehingga sanggup membeli pada harga mahal. Sebaliknya jika tiada topeng muka dan pembersih tangan, boleh guna swab alkohol atau amalkan langkah pembersihan yang maksima.

“Selain itu boleh juga meningkatkan sistem imunisasi tubuh dengan mengambil banyak vitamin C. Memang topeng muka sangat penting pada masa sekarang jadi sebab itu, Just Pharmacy berikan secara percuma Ahad ini,” katanya.

Dengan peruntukan 60,000 swab alkohol itu dijangka dapat diberikan kepada 15,000 orang penerima manakala topeng muka terhad kepada 3,000 keping sahaja.

Edaran bermula jam 9.30 pagi sehingga habis atau sehingga jam 10 malam.

Esther berharap pihak pekedai dan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menjual topeng muka dan sanitizer pada harga yang tidak muasabah sehingga membebankan pengguna.