‘Asalkan perubahan itu sah meskipun ikut tingkap’

Jawapan Tuan Ibrahim itu senada dengan jawapan Abdul Hadi yang berkata, asalkan mengikut proses undang-undang yang betul, PAS boleh memilih untuk “masuk Parlimen” mengikut “pintu mana” sekalipun.

Bagi PAS, dalam membuat perubahan terhadap satu-satu kerajaan, tiada istilah pintu depan mahupun pintu belakang.

Malaysiakini melaporkan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, asalkan perubahan itu dilakukan mengikut sistem demokrasi, undang-undang dan perlembagaan, PAS menganggap perubahan itu sebagai “sah”, meskipun ia dilakukan menerusi “tingkap”.

“Pintu belakang, pintu depan, bagi kita tak ada istilah itu. Bagi kita mana-mana pun istilah (yang digunakan), perubahan mesti mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.

“Contohnya dulu berlaku pertukaran kerajaan di Perak, adakah kita nak kata itu pintu belakang? Sedangkan dari segi undang-undang ia sah.

“Maka bagi kita apa-apa peraturan, perubahan yang tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan undang-undang negara, maka itu sah. Sekalipun ikut ‘tingkap’,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan PAS di ibu pejabat PAS Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta pemberita untuk mengulas kenyataan presiden PAS Abdul Hadi Awang dua hari lalu yang menyatakan PAS akan memasuki kerajaan mengikut “pintu depan”.

Jawapan Tuan Ibrahim itu senada dengan jawapan Abdul Hadi yang berkata, asalkan mengikut proses undang-undang yang betul, PAS boleh memilih untuk “masuk Parlimen” mengikut “pintu mana” sekalipun.

“Insya-Allah kita masuk pintu depan,” kata Abdul Hadi, memberikan bayangan bahawa PAS menganggap jalan yang tidak melanggar undang-undang sebagai “pintu depan”.

Dalam pertukaran kerajaan negeri Perak yang dipetik Tuan Ibrahim, Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS sendiri bersama PKR dan DAP, hilang penguasaan terhadap Perak setelah tiga wakil rakyatnya berpaling tadah dan memberi sokongan kepada BN.

Ketika itu, Perak diterajui Menteri Besar Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS (kini Amanah) diminta meletakkan jawatan bersama barisan exconya oleh Sultan Perak, setelah timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak mengadap sultan sebelumnya.

Sehari kemudian, pada 5 Februari 2009, Zambry Abd Kadir dari BN mengangkat sumpah selaku menteri besar Perak yang baru menggantikan Nizar di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, dengan menyaksikan lebih 3,000 hadir berdemonstrasi di hadapan istana menentang pelantikan tersebut.

Isu pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ dengan PAS mula timbul apabila sekeping gambar memaparkan pertemuan antara Mahathir dengan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bulan lalu.

Pertemuan itu turut disertai isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta individu yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Ia meledak apabila 3 Februari lalu, bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman audio dan mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mahu mengikut PAS menubuhkan pakatan kerajaan, bagi mengetepikan DAP.

Spekulasi itu dinafikan oleh Ahmad Zahid yang menyifatkan kerjasama Umno dengan Mahathir sebagai khabar angin, sementara Lokman pula dipecat daripada menjadi ahli Umno semalam ekoran pendedahan rakaman audio berkenaan.

Perkasa Muafakat Nasional

Ketika disoal pemberita sama ada isu Pakatan Nasional yang diura-urakan sebagai nama pakatan baru tersebut ada dibincangkan dalam mesyuarat, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang turut hadir dalam sidang media itu berkata ia tidak dibangkitkan.

“Kita dengar cerita (saja), tak ada bincang. Kita pun tak terlibat.

“Tak ada. Ada ke Pakatan Nasional?” soalnya kepada pemberita ketika disoal tentang pendirian PAS terhadap dakwaan pakatan baru itu.

Manakala Tuan Ibrahim pula berkata, komitmen PAS pada ketika ini hanyalah untuk memperkasakan Muafkat Nasional.

Foto: Astro Awani