Exco Armada umum cabar Syed Saddiq

Kata Muzzammil, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat selepas melihat kegagalan dan kepincangan Syed Saddiq dalam mengemudi Armada.

Exco Armada, Mohd Muzzammil Ismail hari ini mengumumkan keputusannya untuk merebut jawatan ketua pemuda Bersatu yang kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kata Muzzammil, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat selepas melihat kegagalan dan kepincangan Syed Saddiq dalam mengemudi Armada.

Malaysiakini melaporkan, beliau mendakwa sayap pemuda Bersatu di bawah kepimpinan menteri belia dan sukan itu telah kehilangan sokongan anak muda.

Bukti kegagalan Armada dalam menarik sokongan belia, jelas Muzzammil ditunjukkan dengan kemerosotan sokongan golongan tersebut dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK).

“Kita lihat hari ini kepimpinan yang ada gagal membawa Armada, gagal menarik sokongan anak muda.

“Perjuangan kita untuk pulihkan nama baik Armada yang hari ini dengan pelbagai kes dan isu yang tak perlulah saya sebut di sini,” katanya kepada media pada sidang akhbar di Shah Alam, petang ini.

Seorang lagi Exco Armada, Abu Hafiz Salleh Hudin menawarkan diri berganding bersama Muzzammil untuk bertanding jawatan naib ketua Armada.

Pada 26 Jan lalu, Bernama melaporkan penerbit filem yang juga ahli perniagaan Razalif Mohd Zain mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Armada pada pemilihan parti itu nanti.

Razalif,30, yang kini merupakan Ketua Cawangan Armada Seaview Park, di George Town, Pulau Pinang berkata beliau berhasrat untuk bertanding jawatan itu bagi memperbaharui lagi barisan Armada.

“Salah satu sebab saya hendak bertanding jawatan Ketua Armada Nasional adalah kerana kita mengamalkan prinsip demokrasi dan saya juga ingin memperjuangkan nasib dan masa depan Armada,” katanya kepada pemberita selepas menghantar borang pencalonan pemilihan parti itu di George Town.

Keputusan Muzzammil itu menyaksikan Syed Saddiq bakal dicabar oleh dua individu dalam usahanya mempertahankan kerusi berkenaan dalam pemilihan sayap parti itu nanti.

Dalam pada itu Muzzammil berkata, penolakan anggota Armada terhadap Syed Saddiq cukup ketara dan gagal dibendung lagi.

“Saya pernah bagi tahu Syed Saddiq saya tak ada buat sebarang gerakan, gelombang penolakan ini memang wujud,” katanya lagi.

Sementara itu, Muzzammil pada sidang media sama diminta mengulas mengenai spekulasi Pakatan Nasional yang mengaitkan kerjasama antara Bersatu, PAS dan Umno.

Menjawab soalan itu, Muzzammil berkata tumpuan kini harus diberikan kepada usaha untuk memperkasakan parti dan sayap parti itu.

Jelasnya lagi, Bersatu juga perlu menonjolkan parti itu bersungguh-sungguh memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

Foto: Astro Awani