Armada Kelantan sokong Syed Saddiq

Malah menurut Ketua Armada Kelantan, Asran Alias berkata, pihaknya turut menafikan tohmahan yang dilemparkan kepada Syed Saddiq yang didakwa gagal mengemudi Armada dengan baik.

Armada Kelantan menyatakan sokongan terbuka kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bakal berdepan cabaran dalam mempertahankan jawatan ketua pemuda parti itu.

Malaysiakini melaporkan, menurut Ketua Armada Kelantan, Asran Alias, pihaknya turut menafikan tohmahan yang dilemparkan kepada Syed Saddiq yang didakwa gagal mengemudi Armada dengan baik.

“Kami berpandangan, beliau terbukti mampu menggalas tanggungjawab dengan sangat baik termasuk melibatkan pergerakan Armada di Kelantan.

“Banyak acara dan program dilaksanakannya bermula tahun 2018 lagi sama ada sebelum atau selepas kemenangan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Antaranya seperti program kibarkan Jalur Gemilang, majlis berbuka puasa, korban perdana, bantuan banjir, program kembali ke sekolah, acara GEGAR19, rapat umum dan terakhir sekali program Kad Kebajikan Armada Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Exco Armada Mohd Muzzammil Ismail mengumumkan untuk mencabar Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan bagi jawatan tersebut. 

Keputusan itu katanya dibuat selepas melihat kegagalan dan kepincangan Syed Saddiq dalam mengemudi Armada.

Selain itu, pada 26 Jan lalu, Bernama melaporkan penerbit filem yang juga ahli perniagaan Razalif Mohd Zain mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Armada pada pemilihan parti itu nanti.

Sementara itu Asran berkata, Armada Kelantan mengadakan perjumpaan pada 6 Februari lalu dengan dihadiri semua wakil bahagian termasuk kehadiran majoriti ketua Armada bahagian bagi menyatakan ikrar menyokong Syed Saddiq.

“Armada Kelantan juga berpandangan sifat sabar dan syukur perlu diterapkan dalam menilai prestasi pimpinan. Proses penambahbaikan dan perbincangan perlu dibuat dan menerima hasil perbincangan secara positif.

“Justeru, Armada Kelantan bersepakat akan menyokong Syed Saddiq sebagai ketua pemuda nasional pada pemilihan akan datang. Peluang harus diberikan bagi membawa agenda negara terutama membangunkan belia ke arah masa depan yang lebih produktif dan inklusif,” jelasnya.