Ketaasuban Tun M terhadap PPSMI menghairankan

Isu pendidikan negara bukan soal sistem pendidikan kebangsaan, tetapi soal dasar dan perlaksanaan yang lemah. Membenarkan kepelbagaian pendidikan jenis kebangsaan (Melayu, China, India dan Agama) dan menggalakkan pembangunan pendidikan jenis swasta, pada hemat saya adalah punca kecelaruan pendidikan semasa.

Hari ini saya ingin berkongsi pandangan sahabat saya, Prof Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo, Felo Utama, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI) UKM; Pengerusi, Majlis Warisan Kebangsaan mengenai perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

Sains bukan sekadar Fizik, Kimia, Biologi, Geologi dan Matematik seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Malaysia. Sains Gunaan juga bukan sekadar bidang teknikal yang berkaitan dengan kejuruteraan, pertanian dan perubatan.

Sains ialah kaedah berfikir berasaskan logik, menggunakan fakta hasil ujikaji dan satu kaedah menyelesaikan masalah secara bersistem. Hari ini banyak ilmu bukan Sains Tulen, termasuk ekonomi, pengurusan, antropologi, sosiologi, arkeologi dan sebagainya ialah ilmu sains, umumnya dikenal sebagai Sains Sosial.

Oleh itu, apakah objektif yang cuba dicapai dengan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)? Apakah, demi kemajuan negara berasaskan bidang teknikal atau sekadar memandaikan warga Malaysia berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?

Saya menghormati wawasan Tun Mahathir, beliau pemimpin agung dan ikhlas untuk membantu warga Malaysia. Banyak jasa beliau kepada pembangunan negara dan banyak dasar beliau saya kagumi.

Begitupun, ketaasuban beliau mengenai PPSMI menghairankan saya. Walaupun memahami hasrat beliau, iaitu menjadikan bangsa Melayu mempunyai keupayaan bersaing dalam teknologi tinggi di peringkat global, saya khuatir, usaha ini jika diteruskan ibarat ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikandung keciciran’. 

Punca kecelaruan pendidikan semasa

Izinkan saya memberikan pandangan mengenai, situasi pendidikan negara dan implikasi menghasilkan modal insan berkeupayaan tinggi.

Isu pendidikan negara bukan soal sistem pendidikan kebangsaan, tetapi soal dasar dan perlaksanaan yang lemah. Membenarkan kepelbagaian pendidikan jenis kebangsaan (Melayu, China, India dan Agama) dan menggalakkan pembangunan pendidikan jenis swasta, pada hemat saya adalah punca kecelaruan pendidikan semasa.

Dengan terdapatnya banyak sistem untuk satu urusan yang sangat penting, pelbagai isu boleh ditimbulkan, dan ramai yang mengambil kesempatan untuk menunjukkan sistem merekalah yang terbaik. 

Dalam sistem pendidikan, kerajaan perlu tegas untuk menyelaras satu dasar pendidikan kebangsaan yang jelas dan diterima oleh majoriti, serta memberikan sokongan terbaik mungkin untuk menjayakannya.

Kedua ialah polemik kepentingan mengenai penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa dunia lain. Saya yakin kementerian mengetahui pelbagai masalah dalam menjayakan program ini.

Antaranya ialah kekurangan guru berkualiti dan berkemahiran tinggi mengenai bahasa. Secara berperingkat kita perlu melaksanakan langkah intervensi untuk mengatasi isu ini, umpamanya menghantar guru berpotensi belajar ke negara Inggeris atau institusi khas diwujudkan dalam negara. Atau, mengimpot lebih ramai guru berkalibar dari negara berbahasa Inggeris. Masih banyak yang boleh diperbaiki mengenai urusan ini. Seperti kata perpatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’.

Ketiga, dasar negara membangunkan teknologi watan sebagai pemacu perindustrian moden kurang berjaya dan tidak disokong oleh para pengusaha. Pengusaha dan pengilang lebih cenderung mengimport teknologi luaran kerana lebih mudah, pantas dan menguntungkan. 

Sementara institusi R&D negara tidak dibangunkan secara berstrategi, sehingga keupayaan mengeluarkan teknologi watan terbatas. Keadaan ini menyebabkan kurang peluang graduan S&T untuk mendapat pekerjaan, bukan disebabkan kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Ribuan tesis dalam bahasa Melayu

Tun Mahathir mungkin tidak dimaklumi, perkembangan bahasa Melayu untuk Sains dan Matamatik yang kini telah mencapai tahap matang, setanding dengan bahasa ilmu lain di dunia. Ribuan tesis MSc dan PhD, buku ilmiah dan kertas jurnal berimpak telah ditulis dalam bahasa Melayu. 

Semua ini telah dijayakan oleh ilmuwan Melayu sejak tahun 1970 apabila UKM, USM, UPM dan UTM diwujudkan. Hanya mereka yang tidak pernah terdedah dengan urusan keilmuan paras tinggi sahaja kurang mengetahui dan tidak meyakini keupayan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu. Apa yang diperlukan sekarang ialah iltizam politik supaya semua laporan teknikal dan tulisan ilmiah diterbitkan dalam negara mesti ditulis dalam bahasa Melayu.

Tomahan bahawa pelajar dari Sekolah Kebangsaan aliran Melayu tidak berdaya saing dan lemah berkomunikasi adalah usaha berniat jahat dan memperkecilkan dasar pendidikan kebangsaan. Saya adalah bekas pelajar aliran Melayu, masuk ke UKM mendapat ijazah SnSn Kepujian (Geologi) pada tahun 1976. Enam bulan berikutnya saya ke UK melanjutkan pelajaran dan terus mendapat ijazah PhD kurang dari tiga tahun. Memang sukar untuk menulis tesis dalam bahasa Inggeris, tapi itu bukan halangan besar bagi kami dari aliran bahasa Melayu.

Apabila kembali menjadi ahli akademik, saya diundang untuk menyampaikan ratusan Kertas Dasar di luar negara, termasuk negara berbahasa Inggeris, ini tidak menjadi masalah dan pemikiran saya terus dihormati. Saya yakin, ribuan lepasan pelajar aliran Melayu seperti saya berjaya dan dikenali di peringkat global. Sekolah Kebangsaan aliran Melayu telah terbukti memajukan negara dan menyatupadukan warga Malaysia.

Saya mengakui, warga Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya akibat arus globalisasi. Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan penting adalah satu daripada cabaran ini. Jika tidak berhati-hati, semua pengorbanan untuk nembina tamadun negara bangsa dan jatidiri kebangsaan akan menjadi sia-sia.

Tun Mahathir begitu kagum dengan sikap dan kejayaan masyarakat Jepun dan Korea. Saya juga sering ke sana diundang untuk memberikan khidmat nasihat dalam pembangunan gagasan geopark. Mereka menyedari kepentingan bahasa Inggeris untuk komunikasi global, tetapi tetap tidak berganjak untuk menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu yang dihormati dunia.

Saya membuat catatan ini untuk menyatakan pandangan ikhlas, suatu yang amat dekat di hati bangsa Melayu, iaitu penduduk majoriti Malaysia. Usaha yang baik, terbukti berjaya dan telah digerakkan sejak selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu, janganlah dikuburkan melalui dasar yang bakal merugikan bangsa Melayu secara jangka panjang. 

Apakah ertinya sebuah bangsa berharta, jika bahasanya tidak dihormati dan dipinggirkan di tanah air sendiri.

Foto: Astro Awani


MOHAMED KHALED NORDIN ialah Naib Presiden Umno.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily.