Malam Santai Seni suatu kejayaan di Parlimen Temerloh

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Luqman Hakim Halimi, 17 tahun, menganggap program sedemikian merupakan peluang baginya menimba pengalaman dan membina keyakinan.

Bagi pelajar sekolah yang memiliki minat atau bergiat dalam bidang seni, sudah tentu mereka memerlukan ruang untuk menonjolkan bakat dinhadapan khalayak ramai.

Maka Malam Santai Seni di Laman Esplanade yang bakal dianjurkan setiap malam minggu menjadi medan terbaik buat mereka daripada menghabiskan masa melakukan aktiviti tidak berfaedah.

Diilhamkan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir, program ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu deklamasi sajak dan puisi, lagu tradisional atau lagi daerah di Pahang, live band atau buskers yang terbuka untuk golongan muda serta pelajar.

Luqman Hakim bersama dua rakannya sedang membuat persembahan.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Luqman Hakim Halimi, 17 tahun, menganggap program sedemikian merupakan peluang baginya menimba pengalaman dan membina keyakinan.

Jelasnya, beliau bersama dua rakan sebayanya, Muhammad Harris Danial Hamidi dan
Muhammad Haziq Darwisy Mohd Yusry telah menubuhkan band sejak setahun lalu namun hanya membuat persembahan di sekolah.

Tambahnya, walaupun agak gemuruh namun perasaan ditolak ke tepi bagi memberikan persembahan yang terbaik.

Seorang pelajar perempuan dari SMK Temerloh turut membuat persembahan.

“Kami rasa seronok dapat menyertai program macam ni sebab bukan senang nak dapat program macam ni, biasa buat persembahan kat sekolah je.

“Tapi sekarang ni rasa macam mana nak cakap tu rasa macam bangga la dah dengan diri sendiri dengan apa yang dah kita orang capai ni pastu harapan kita orang agar kita orang dapat kembangkan bakat yang kita orang ada ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada guru mereka, Wan Fazliani Wan Yusoff, yang banyak membimbing hingga mereka mampu membuat persembahan.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed yang hadir merasmikan program itu turut menzahirkan rasa bangga atas inisiatif Ahli Parlimen Temerloh yang berusaha untuk mencungkil bakat anak-anak muda di daerah itu.

Zulkifli (dua,kiri) menghayati persembahan di Malam Santai Seni.

Menurutnya, program secara berkala itu amat baik kerana ia mampu menjalinkan hubungan baik antara pelbagai pihak sambil melahirkan seniman-seniman yang tidak mustahil menjadi pelapis industri seni pada masa akan datang.

“Saya berharap program-program sebegini akan dapat kita teruskan kerana ianya akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khusunya kepada orang awam khususnya dan ianya akan menjadi satu medan untuk kita bersama-sama berkenalan sama-sama bersahabat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Malam Santai Seni di Laman Esplanade Temerloh anjuran Pejabat Parlimen Temerloh dengan kerjasama Alumni UiTM Business Network dan Amal Relief Malaysia dekat Temerloh, Pahang malam tadi.

Selain persembahan live band oleh D’Arif Band, turut mendeklamasi Raja Ahmad Aminullah dan rakan-rakannya.

Raja Ahmad Aminullah sedang mendeklamasikan sajak yang ditulis Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir.

Menurut Raja Ahmad Aminullah, ia suatu berita yang baik kerana kegiatan-kegiatan membumi atau merakyat ini penting.

“Seni adalah satu wahana atau cara untuk mendekatkan diri kepada masyarakat yang ingin diperjuangkan kepentingan mereka. Saya memang kagum dengan sahabat lama saya saudara haji Anuar kerana kalau saya tak silap inilah satu-satunya kawasan parlimen yang menganjurkan program seni sebegini rupa bukan sekali bukan dua kali tetapi beberapa kali dan mengikut ceritanya akan dilangsungkan lagi dengan lebih kerap,” katanya.

D’ARiF Band sedang membuat persembahan.
Warga Temerloh yang hadir memenuhi Laman Esplanade.