Malaysia perluas sekatan ke atas pelawat China

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap Wilayah Zhejiang melibatkan lima bandar dan Wilayah Jiangsu (dua bandar).

Sekatan perjalanan ke Malaysia, yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, pusat penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kini diperluaskan kepada Wilayah Zhejiang dan Wilayah Jiangsu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap Wilayah Zhejiang melibatkan lima bandar dan Wilayah Jiangsu (dua bandar).

“Selaras dengan keputusan pada 27 Jan lalu iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei akan diperluaskan terhadap dua lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

– Bernama

Foto: Yahoo News Malaysia