Drama Band sindir Najib, Rosmah di AJL34, ada pihak terkesan

Sewaktu mempersembahkan lagu Drama, band terbabit meniru rakaman audio didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada 8 Januari lalu.

Persembahan Drama Band dalam majlis Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi memang mudah ditafsirkan apa yang tersirat di sebaliknya.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada pihak yang suka, tetapi pada masa sama ada pula yang terasa pedih dengan sindiran dipaparkan kumpulan tersebut.

Antaranya, pengguna Facebook Syanz Aisyah Abdul Raaof berkata: “Wah, semua makian ni. Harap DS Rosmah dan DS Najib saman ahli band ini.”

Pengguna Facebook De Leon pula berkata: “Ahli kumpulan ini mesti ahli parti ‘semboureyt’ (semburit) kan? Tak pun ahli parti bunga buat meeting pukul 4 pagi dengan GRO dan Krimer. Hahahaha.”

Pengguna Facebook Insan Di Uji pula menambah: “Walaupun aku bukan BN tapi aku sakit hati bila dia menghina dan mempersendakan orang begitu sekali. Tu baru Allah bagi rezeki sikit dah berlagak. Belum banyak lagi mesti dahsyat.”

Pengguna Facebook Backer di Rahman pula berkata: “Kau ingat hina Najib dan Rosmah boleh menang ke? Silap strategilah.”

‘Can I advise you something’

Sewaktu mempersembahkan lagu Drama, band terbabit meniru rakaman audio didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada 8 Januari lalu.

Kemudian, muncul dua watak badut, seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah. Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah. Mereka diiringi beberapa watak badut lain di pentas.

Sambil berjalan, wanita tersebut bercakap: “Can I advise you something.” (Boleh saya nasihatkan kamu sesuatu.)

Ungkapan itu sinonim dengan rakaman audio yang didedahkan Latheefa Koya.

SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa maklumat bocor daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib sewaktu beliau masih perdana menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Bukan setakat isu Najib dan Rosmah, Drama Band juga mempersembahkan adegan lain seperti kontroversi membabitkan seorang peserta Dewi Remaja yang dilucutkan gelaran juaranya selepas berhibur di kelab malam.