Kes rogol exco Perak: 3 Mac keputusan gantung prosiding perbicaraan

Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pasukan pembelaan memfailkan satu notis bertulis berhubung permohonan berkenaan pada 18 Feb selain pihak pendakwaan perlu mengemukakan afidavit balasan pada 25 Feb.

Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini menetapkan 3 Mac bagi keputusan permohonan pihak pembelaan untuk menggantung prosiding perbicaraan kes rogol membabitkan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pasukan pembelaan memfailkan satu notis bertulis berhubung permohonan berkenaan pada 18 Feb selain pihak pendakwaan perlu mengemukakan afidavit balasan pada 25 Feb.

“Tertuduh (Yong) perlu hadir pada tarikh berkenaan (3 Mac) selain penetapan tarikh keputusan permohonan. Pada hari berkenaan (3 Mac), perlu ada hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak. Saya tidak mahu ada lagi lanjutan atau sebarang alasan, mesti ada hujahan balas (pembelaan dan pendakwaan),” katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong berkata permohonan itu dibuat atas alasan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan semalam, selepas permohonan memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi ditolak Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar pula kata pihaknya telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan bersama saksi-saksi.

“Memfailkan notis permohonan bukan alasan untuk menangguhkan perbicaraan melainkan mahkamah (Sesyen) memikirkan ada sebab-sebab munasabah yang lain,” katanya.

Rajpal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata tarikh untuk mendengar keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan.

“Kami belum dapat tarikh sebab ia proses yang panjang. Hakim Mahkamah Rayuan perlu menulis alasan penghakiman mereka, baru rekod rayuan akan disiapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan,” katanya sambil menambah tarikh perbicaraan yang ditetapkan esok sehingga Jumaat ini dilapangkan.

Pada 5 Dis tahun lepas, Norashima menetapkan tarikh perbicaraan Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, pada 10 hingga 14 Feb 2020.

Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan manakala Yong juga diwakili peguam Salim Bashir dan peguam Farhan Sapian.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Yong, 50, yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia di sebuah rumah di Meru Desa Park, di antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan untuk menolak permohonan itu manakala Hakim

Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan itu.

– Bernama

Foto: Selangorkini