Sumber: Secara dasar Kabinet setuju lanjut lesen Lynas

Sumber lain memberitahu media bahawa menteri DAP, Lim Guan Eng dan Yeo sendiri membantah perkara itu apabila isu Lynas dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Kabinet hari ini bersetuju secara dasarnya untuk melanjutkan lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan selama tiga tahun sehingga 2023, kata sumber yang dekat dengan kabinet.

Malaysiakini melaporkan, sumber yang memberitahu portal itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Lynas mendapat kelulusan daripada kabinet selepas syarikat Australia itu memenuhi tiga syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, kata satu lagi yang dekat dengan kerajaan.

Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan syarat berkenaan.

Sementara itu, sumber lain memberitahu media bahawa menteri DAP, Lim Guan Eng dan Yeo sendiri membantah perkara itu apabila isu Lynas dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Pada 15 Ogos 2019, kabinet hanya memberi Lynas lesen enam bulan, yang berkuat kuasa pada 3 Sept, 2019 sehingga 2 Mac, 2020.

Pada masa itu, pembaharuan lesen berkenaan diluluskan dengan beberapa syarat utama termasuk memindahkan proses pemecahan dan pelunturan ke negara lain dan pembinaan kemudahan pelupusan tetap.

Baru-baru ini, Lynas mengumumkan bahawa ia memperoleh kelulusan kerajaan negeri Pahang untuk menggunakan Bukit Ketam di Kuantan sebagai tempat pembuangan sisa WLP.

Foto: Free Malaysia Today