Anwar pertahan Dr Mahathir tak terlibat usaha kekalkan PM ke-7

Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada Pas, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari Keadilan sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal. - Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam usaha mengekalkan PM ke-7 itu hingga akhir penggal.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau telah bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai peralihan kuasa.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada Pas, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari Keadilan sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap cenderung agar Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Katanya, namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kepada Dr Mahathir memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

Jelasnya, perjanjian yang dimeterai itu yakni tegas menyokong kepimpinan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu,” katanya.