Usul undi percaya Pas kepada Dr M akan gagal

Malah, kata Azan, PAS hanya akan mengulangi peristiwa pada tahun 2016 lalu di mana parti itu telah mengambil pendirian berkecuali apabila wakil rakyat pembangkang, Adun Kijal ketika itu, Ahmad Said membawa usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman ke Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yakin usaha membawa usul undi percaya di parlimen kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal pilihan raya ke-14 (PRU14) akan gagal.

Sebaliknya, Azan berkata usaha itu hanya akan memalukan perdana menteri.

Malah, kata Azan, PAS hanya akan mengulangi peristiwa pada tahun 2016 lalu di mana parti itu telah mengambil pendirian berkecuali apabila wakil rakyat pembangkang, Adun Kijal ketika itu, Ahmad Said membawa usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman ke Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Undi percaya PAS bukan sahaja tidak akan berjaya tetapi mungkin akan mendatangkan malu kerana berdasarkan pengalaman kita di Terengganu dulu, mereka telah memalukan barisan pembangkang sebanyak dua kali, sebab itulah saya fikir agak tak masuk akal dia nak bawa usul itu untuk tujuan baik,” katanya ketika dihubungi kepada Malaysiakini.

Azan berkata demikian mengulas usul undi percaya yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 8 Februari lalu.

‘Ada pihak tak puas hati Dr M’

Tuan Ibrahim sebelum ini bersama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu bahawa PAS akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri.

Menurut kedua pimpinan PAS dan Umno ini, keputusan tersebut diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan Dr Mahathir, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Jelas mereka, usul itu bertujuan mengakhiri kemelut berhubung peralihan kuasa perdana menteri yang didakwa “telah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi” selain mengganggu perdana menteri untuk terus mentadbir negara.

Mengulas lanjut, Azan berkata pada Mac 2016, dirinya sendiri serta PAS bersama-sama dengan Ahmad Said, yang juga bekas menteri besar Terengganu selama enam tahun bermula 2004 telah sepakat untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Bagaimanapun, kata Azan usaha tersebut telah gagal apabila PAS mengambil pendirian berkecuali mengenainya.

Speaker tolak usul Mad Said 

“Sebab apa? Kita (pembangkang) memang berpakat elok dua, tiga hari sebelumnya dan seminggu sebelum itu perjanjian dia siapa yang akan bangun, siapa yang akan angkat tangan, siapa yang akan bawa Perkara 42 Perlembagaan Negeri, semua siap.

“Tetapi, bila tiba saatnya dia (PAS) kencing kita dengan mengambil pendirian berkecuali. Jadi, terkontang-kantenglah Ahmad Said seorang dengan Umno dan saya ketika itu. PAS sebenarnya dalam istilah lainnya ‘kencinglah’.

“Jadi, saya rasa dia akan mengulangi peristiwa yang sama dalam negeri Terengganu, sebab negeri Terengganu pada masa itu senang-senang PAS boleh ambil kuasa untuk jadi kerajaan tetapi dia (PAS) kencing pada saat-saat penentu itu sehingga Ahmad Said malu besar,” katanya.

Bekas menteri besar Terengganu ketika membentangkan usul undi tidak percaya di DUN.

Pada Mac 2016 lalu, Ahmad Said atau dikenali dengan panggilan Mat Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap penggantinya, Ahmad Razif tetapi ditolak speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong.

Mat Said membentangkan usul itu mengikut Perkara 14(6) perlembagaan negeri yang membolehkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar dikemukakan.

Beliau juga memetik Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara di bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

Perkara itu mencetuskan protes di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk Azan sendiri yang mahu pengundian diadakan.

Ahmad Said turut menyifatkan keputusan speaker sebagai tidak adil kerana pernah ada duluan (precedent) mengenai usul undi tidak percaya dengan memetik kejadian pada 1961 apabila tiga Adun pembangkang berpaling tadah kepada BN dan membentangkan undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS.

Menurut Azan, perkara yang melibatkan cadangan usul undi percaya Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri memerlukan perbincangan yang rapi bagi menjayakannya.

Tak perlu undi percaya PM

Bagaimanapun, berdasarkan terhadap apa yang telah dilakukan PAS pada 2016 dan jika sekadar untuk mencipta spekulasi, maka pasti akan mendatangkan malu besar.

“Saya yakin ia akan mendatangkan malu besar kepada parti kerajaan yang termakan dengan dakyah yang dibawa oleh PAS.

“PAS adalah sebuah parti politik dalam negara kita yang ada rekod di mana dia sebenarnya bukan bermaksud nak buat apa yang dia cakap.

“Macam yang dia cakap sekarang ini untuk bawa undi percaya. Sebaliknya PAS akan buat perkara yang berlawanan dengan apa yang dinyatakan,” katanya.

Kata Azan, undi percaya perdana menteri itu tidak perlu berlaku.

Katanya, ini kerana Pakatan Harapan (PH) telah sepakat mengenai peralihan kuasa Dr Mahathir sudah berjanji akan melepaskan jawatan perdana menteri pada November ini.

“Datuk Seri Anwar (Presiden PKR) juga tidak menganggap ia sebagai undian dan undian ini tidak perlu berlaku. Sebenarnya peralihan kuasa itu seperti mana yang telah diputuskan bersama dan perlu dipatuhi serta ditaati dan jangan pula jadi seperti pengalaman kita dengan PAS.

“Dah berjanji tetapi tak ditunaikan malah dikencing kita disaat akhir.

“Sebab itu perkara ini saya fikir Anwar tidak perlu membincangkan jumlah sokongan. Sebab undian ini bukan Anwar yang nak dan tidak ada kena mengena dengan beliau,” katanya.

Selain itu, Azan juga mendakwa tidak mustahil Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempunyai agenda peribadinya sendiri.

“PAS mempunyai motif berlainan tidak seperti apa yang disebut. Sama ada motif itu dalam bentuk mahu memalukan seseorang atau pun mempunyai elemen kacau ganggu dalam kerajaan berkuasa untuk tidak melicinkan peralihan kuasa kepada Anwar.

“Barangkali kerana sifat peribadi Hadi Awang dengan Anwar, kita tahu yang Abdul Hadi agak marah kepada Anwar atau dia menyalahkan Anwar apabila berlaku Langkah Kajang pada 2014.

“Dia cukup marah pada masa itu, kononnya tak berbincang dengan dia berkenaan dengan Langkah Kajang. Kemudian berkenaan cadangan untuk melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang mana presiden PAS itu secara terbuka telah membuat kenyataan terlalu kasar dan bukan sahaja menguris hati tetapi menghina Wan Azizah,” katanya.

‘Alih fokus negeri PAS belanja boros’

Sementara itu, Azan juga turut mendakwa langkah PAS membawa usul undi percaya itu bagi mengalihkan fokus rakyat terhadap perbelanjaan boros pentadbirannya di Kelantan dan Terengganu selepas menerima dana yang begitu besar dari perdana menteri.

“Pada pandangan saya ini tidak lebih daripada nak mengelak fokus masyarakat Malaysia daripada memerhatikan dan menilai sejauh mana keberkesanan pentadbiran di Terengganu dan Kelantan. Ini sebenarnya yang nak dielakkan daripada diberi fokus.

“Sebab kedua-dua negeri ini telah menerima peruntukan dana yang besar dari Tun Mahathir.

“Jadi, penilaian sepatutnya diberi kepada keberkesanan untuk membantu rakyat di dua negeri ini yang terkenal sebagai negeri miskin. Tetapi disebabkan nak alihkan fokus penilaian itu dibawanya cerita berkenaan undi percaya.

“Maknanya seolah-olah nak membalas budi Tun Mahathir dan inilah salah satu cara untuk menunjukkan terima kasih atas hadiah besar yang diterimanya” katanya.

Justeru itu, kata Azan adalah lebih baik untuk PAS membawa usul ucapan terima kasih dan bukan dalam bentuk undi percaya.

Untuk rekod, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan bersidang bermula 9 Mac ini.

Pada masa ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 anggota parlimen, disusuli dengan DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11). Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.

Bagaimanapun, perseteruan dalaman antara Anwar dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali membangkitkan persoalan sama ada anggota parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan daripada kesemua 47 anggota parlimen partinya.

Mengikut persefahaman dicapai antara pemimpin parti komponen PH menjelang PRU ke-14 hampir dua tahun lalu, Dr Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri bagi menumbangkan Najib Razak.

Mahathir kemudian dikatakan bakal berundur untuk memberi ruang kepada Anwar – yang sebelum itu menjadi calon perdana menteri bagi PKR, DAP dan Amanah.

Penubuhan Bersatu dan penyertaan parti itu ke dalam PH menyaksikan pembangkang ketika itu – Pakatan Rakyat – menukar strategi dengan menawarkan kepimpinan Mahathir yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri selepas lebih 20 tahun.

Selepas membentuk kerajaan pusat pada Mei 2018, sesetengah pemimpin PKR mendesak agar ada tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan kuasa daripada Mahathir, 94, kepada Anwar, 72.