Kapal asing tidak dibenarkan berlabuh di perairan negara

Tegas Wan Azizah, kerajaan mengambil ketetapan itu sebagai usaha mengekang penyebaran wabak berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia tidak membenarkan mana-mana kapal asing berlabuh di perairan negara terutamanya kepada mereka yang enggan berkongsi maklumat penting berhubung penularan wabak Covid-19.

Malaysiakini melaporkan, Wan Azizah menegaskan bahawa kerajaan mengambil ketetapan itu sebagai usaha mengekang penyebaran wabak berkenaan.

“Jabatan Imigresen melaporkan bahawa ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam dan Saphhire Princess.

“Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong, sebelum ke Taiwan pada 1 Februari lalu pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia.

“Kapal ini bagaimanapun mendapat kebenaran untuk berlabuh di Vietnam semalam, manakala Sapphire Princess selamat berlabuh di Singapura.

“Oleh itu, tiada kapal asing yang dilaporkan mendapat kebenaran berlabuh di Malaysia,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa peringkat tinggi Pengurusan Bencana Pusat mengenai wabak Covid-19.

Foto: The Star