Penguat kuasa MPSJ, individu dalam video berdamai

Pertemuan diadakan di pejabat Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze, yang memaklumkan kedua-dua pihak setuju untuk berdamai.

Pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan seorang lelaki yang terlibat dalam insiden pergaduhan yang tular, mengadakan pertemuan hari ini.

Malaysiakini melaporkan, pertemuan diadakan di pejabat Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze, yang memaklumkan kedua-dua pihak setuju untuk berdamai.

“Pegawai MPSJ dan individu itu telah berjumpa dengan saya hari ini, bersama seorang pengara yang diakreditasi, Sean Oon.

“Saya amat berbesar hati dan berbangga untuk memaklumkan bahawa, selepas berbincang dengan kedua-dua pihak, mereka dengan sukarela berdamai dan menyelesaikan salah faham.

“MPSJ, pegawai itu dan individu berkenaan juga bersetuju agar isu antara mereka dikira selesai secara muktamad,” kata Ng dalam kenyataan hari ini.

Dalam video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di media sosial, pertelingkahan tercetus antara pegawai MPSJ dengan lelaki itu, dianggarkan berusia antara 50 hingga 55 tahun, selepas keretanya ingin ditunda pegawai terbabit.’

Lelaki itu kemudian memukul pegawai tersebut dengan payungnya. Pegawai itu bertindak balas dengan memukul dan menolak lelaki itu sehingga jatuh ke jalan.

Lelaki itu dilihat terbaring dengan luka di kepala. Beberapa orang yang berada di situ dilihat membantunya dan meleraikan keadaan.

Dalam kenyataan petang tadi, MPSJ memaklumkan telah menggantung tugas penguatkuasaan pegawai terbabit dan siasatan dalaman dijalankan terhadap insiden itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada status penggantungan itu masih kekal, susulan pertemuan kedua-dua pihak ini.