Warga emas direman pukul bekas isteri dengan kayu kerusi

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 60 tahun cuba meleraikan pertengkaran antara suspek dan seorang anaknya berkaitan pembahagian harta harta.

Seorang lelaki warga emas tergamak memukul bekas isterinya dengan sebatang kayu kerusi patah hingga menyebabkan kecederaan.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 60 tahun cuba meleraikan pertengkaran antara suspek dan seorang anaknya berkaitan pembahagian harta harta.

Suspek yang berusia 65 tahun berasal dari Felda Lakum dekat Lanchang, Temerloh, Pahang telah ditahan pihak polis selepas menerima aduan daripada mangsa.

Perintah reman selama empat hari dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Temerloh, Hayatul Hafifie Hisham.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Pondok Maahad Darul Ulum Paya Siput, Lanchang telah dihubungi menantunya yang meminta beliau datang ke rumah di Felda Lakum seperti diminta suspek untuk berbincang mengenai pembahagian harta.

Ketika tiba di lokasi, mangsa mendapati suspek sedang bertengkar mulut dengan anaknya mengenai harta dan mangsa cuba meleraikannya.

Suspek yang tiba-tiba naik marah terus mengambil sebatang kayu kerusi yang rosak lalu  memukul bahagian kepala pengadu dan ditendang sehingga berdarah serta lebam di bahagian lengan kiri.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka sedalam 0.5 cm dengan panjang lebih kurang 1 inci serta mendapat empat jahitan di bahagian kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.