Mufti Wilayah sifatkan pemergian Abam sebagai husnul khatimah

Meskipun sudah lima hari Abam kembali ke rahmatullah, kebaikannya terus diperkatakan dan dikongsi di media sosial.

Pemergian pelawak Abam Bocey bukan sahaja diperkatakan peminat dan golongan seni tanah air, malah turut mencuri perhatian pemimpin negara dan golongan agama.

Malaysiakini melaporkan, meskipun sudah lima hari Abam kembali ke rahmatullah, kebaikannya terus diperkatakan dan dikongsi di media sosial.

Turut mengulas mengenai pemergian Abam ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad yang menyifatkan kematian pemilik nama penuh Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan al-Juffrey itu sebagai husnul khatimah.

“Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya. Walaupun sudah hampir seminggu kematiannya, nama Abam masih lagi meniti di bibir-bibir orang ramai. 

“Mengapa boleh jadi sedemikian rupa? Adakah kerana kemasyhurannya? Atau kerana lawaknya yang sentiasa diingati?

“Bagi saya, bila mana kematiannya sentiasa disebut-sebut, itulah petanda kematian dan penamat yang baik (husnul khatimah),” katanya menerusi akaun Facebook.

Tambahnya, ribuan yang hadir bagi menyempurnakan solat jenazah Abam juga menunjukkan petanda husnul khatimah.

“Seperkara lagi, solat jenazahnya dihadiri oleh ramai orang.

“Ini jua menunjukkan petanda husnul khatimah,” katanya lagi.

Dr Zulkifli berkata demikian dalam merujuk sabda Rasullulah: Tidaklah seorang Muslim meninggal kemudian disolatkan jenazahnya oleh 40 orang yang tidak menyekutukan Allah, kecuali Allah mengizinkan mereka memberi syafaat kepadanya (pada Hari Kiamat nanti) .

Terdahulu, media melaporkan dianggarkan 2,000 orang hadir bagi menziarahi allahyarham buat kali terakhir dan menyempurnakan solat jenazahnya.

Pada 10 Feb lalu, Abam meninggal dunia di kediamannya, di Gombak, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi dipercayai akibat demam panas.

Kejadian itu disedari isterinya, Nor Hidayah yang cuba mengejutkan arwah untuk bangun solat Subuh. Abam, 32, dikatakan mengalami demam panas dua hari sebelum itu namun tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan. Selain Abam, kumpulan Bocey turut dianggotai Fad dan Achey.

Sementara itu, Dr Zulkifli turut menyampaikan takziah dan mendoakan agar keluarga Abam diberikan ketabahan menghadapi dugaan tersebut.

“Semoga dikurniakan ketabahan dan kesabaran, khususnya kepada isteri beliau dalam membesarkan anak yang dikasihi, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Mungkin jika satu hari nanti anakanda Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey terbaca nukilan ini, ketahuilah bahawa ayahandamu seorang yang baik dan disenangi semua orang,” katanya.