Nadma usaha bawa pulang 30 rakyat Malaysia di Hubei, Wuhan

Saifuddin juga dilaporkan berkata lapan pejabat kedutaan dan konsulat di China termasuk Beijing, Hong Kong dan Taiwan akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu menguruskan rakyat Malaysia di sana dengan hanya kakitangan tertentu bersama pasangan serta tanggungan mereka akan dibawa pulang, seperti yang diumumkan pada 5 Feb lalu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menggerakkan usaha membawa pulang 30 lagi rakyat Malaysia yang masih berada di Hubei dan Wuhan, China susulan penularan wabak Covid-19.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai evakuasi warga Malaysia di sana.

“Saya tidak pasti bila mereka akan dibawa pulang tetapi Nadma sedang berusaha untuk membawa kira-kira 30 rakyat Malaysia yang masih berada di sana,” katanya.

Saifuddin juga dilaporkan berkata lapan pejabat kedutaan dan konsulat di China termasuk Beijing, Hong Kong dan Taiwan akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu menguruskan rakyat Malaysia di sana dengan hanya kakitangan tertentu bersama pasangan serta tanggungan mereka akan dibawa pulang, seperti yang diumumkan pada 5 Feb lalu.

Beliau turut mengulas mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asean-China di Laos pada 20 Feb ini, berkata pertemuan itu khusus untuk membincangkan usaha menangani Covid-19.

“Tujuan mesyuarat itu adalah untuk memperkukuh kerjasama Asean dan China dalam menangani jangkitan ini. Kita dalam Aseam kita memang ada keyakinan bahawa China boleh dan mampu atasi jangkitan ini.

“Mesyuarat itu juga adalah untuk kita bertukar-tukar nota pengalaman (menangani wabak ini) dan mendengar taklimat terbaru daripada Menteri Luar China,” kata beliau.

Pada 4 Februari lalu, seramai 107 warga Malaysia dibawa pulang melalui penerbangan khas pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia.

Dua daripada 107 individu yang tiba di Malaysia melalui penerbangan khas dari Wuhan, China itu gagal semasa menjalani saringan kesihatan dijalankan dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Bagi 105 rakyat Malaysia yang melepasi saringan kesihatan, mereka kemudiannya dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Di sana, saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan itu.