Klinik swasta dikompaun RM10,000

Operasi pada Sabtu lalu oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut telah memeriksa klinik berkenaan selepas menerima aduan awam.

Sebuah klinik swasta di Bandar Lipis, Pahang dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati menjual topeng muka melebihi harga kawalan.

Operasi pada Sabtu lalu oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut telah memeriksa klinik berkenaan selepas menerima aduan awam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad, berkata, sebelum pemeriksaan dilakukan seorang anggota ke klinik berkenaan dengan menyamar sebagai orang awam untuk membeli topeng muka.

Abdul Mubin pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Jerantut.

Menurutnya, setelah mendapati ia memang dijual melebihi harga kawalan, sepasukan anggota telah memeriksa klinik berkenaan dan merampas tiga ratus keping topeng muka tiga lapisan.

Katanya, hasil siasatan mendapati ia dijual dengan RM1.00 sekeping berbanding harga kawalan yang sepatutnya dijual pada harga RM0.80 sekeping.

Beliau berkata, pemilik klinik tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Tambahnya, sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000, sekiranya gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari, tindakan mahkamah akan diambil dan sekiranya bersalah penalti sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada pemilik premis.

“Ini merupakan kes pertama yang melibatkan penjualan topeng muka melebihi harga kawalan di negeri Pahang. KPDNHEP Jerantut telah memeriksa 64 premis yang ada kaitan untuk penjualan topeng muka.

“Pihak KPDNHEP menasihatkan kepada semua peniaga agar mematuhi harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak mengambil keuntungan di atas isu atau krisis yang dihadapi sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Jerantut, hari ini.

Abdul Mubin berkata, lima jenis topeng yang dikawal harganya adalah topeng muka satu lapisan, topeng muka dua lapisan, topeng muka tiga lapisan, topeng muka tiga lapisan ikat pada kepala dan topeng muka N95.